Penuntut IPT perlu pelajari etika AI, guna teknologi secara bijak

Iklan
Qurratu'aini Maisarah (kiri) ketika menerima Anugerah Pengarah@Anugerah Sri Gelugor Tahun 2024 serta Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum pada Majlis Konvokesyen ke-7 PMTG di Sungai Petani pada Rabu.

SUNGAI PETANI - Etika penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu ditekankan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara bijak dan bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, perkembangan AI begitu pantas sehingga sesuatu yang dilihat tidak sempurna mampu menjadi lebih baik dalam tempoh singkat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengetahuan teknologi perlu disertai dengan kesedaran etika agar kreativiti yang digabungkan dengan AI dapat meningkatkan produktiviti dan memberi manfaat kepada industri.

“Kita tidak mahu pengguna ataupun penonton di luar sana dipengaruhi atau tertipu dengan pencipta kandungan yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-7 Politeknik Metro Tasek Gelugor (PMTG) di sebuah hotel, di sini pada Rabu.

Iklan

Tegasnya, industri kreatif bukan sahaja membina identiti bangsa, malah menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara melalui filem, animasi, muzik, seni reka dan media digital.

Sementara itu, penerima Anugerah Pengarah @ Anugerah Sri Gelugor Tahun 2024 serta Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Qurratu’aini Maisarah Mohd Yusof, 22, berkata, beliau pernah hilang semangat terhadap pelajaran setelah ibu bapanya meninggal dunia ketika berada di sekolah menengah.

Iklan

Namun, dorongan kakaknya, Qurratu’aini Ammarah, 29, banyak memberi kekuatan untuk melepasi halangan dan ujian sehingga berjaya mencapai tahap tersebut.

“Satu lagi cabaran ialah bidang Teknologi Maklumat–Teknologi Digital ini boleh dikatakan tidak ramai wanita sertai... namun saya tetap tidak putus asa.

“Saya lihat industri sekarang banyak memerlukan graduan bidang teknologi maklumat, saya harap ada peluang untuk membina kerjaya dalam bidang keselamatan siber,” jelasnya.