NIBONG TEBAL - Seorang pekerja subkontraktor maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembersihan panel solar di sebuah kilang kertas di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia 21 tahun dilaporkan terjatuh dari bumbung lut sinar di kawasan loading bay kilang terbabit.
Menurut Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sungai Bakap.
Berikutan itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan notis larangan kepada pihak terlibat selain mengarahkan semua aktiviti kerja dihentikan sehingga tindakan pembetulan dibuat.
"JKKP turut menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang oleh pihak terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam kenyataan sama, JKKP menegaskan setiap majikan serta kontraktor bertanggungjawab memastikan sistem kerja selamat disediakan, dinilai dan dipatuhi sebelum pekerja diarahkan melaksanakan kerja berisiko tinggi.
Katanya, kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, JKKP memandang serius sebarang kemalangan melibatkan kerja di tempat tinggi kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada kemalangan maut di tempat kerja.
Justeru, semua pihak industri diingatkan supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya termasuk penyediaan titik tambatan (anchorage point) yang sesuai, latihan keselamatan berterusan dan penguatkuasaan pematuhan prosedur kerja selamat.