KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menggerakkan aset dan keanggotaan dalam operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan sekumpulan tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang di Perairan One Fathom Bank di sini pada Isnin.
Operasi pencarian digerakkan bersama tiga agensi penguatkuasaan iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 3.35 pagi berhubung kehilangan kesemua mangsa setelah keluar dari Jeti Sementa.
"Susulan daripada laporan tersebut, aset-aset menyelamat telah mula diatur gerak ke lokasi kejadian.
"Operasi Carilamat telah diaktifkan secara rasmi pada jam 5.00 pagi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, bagi melancarkan operasi pencarian, aset-aset laut dan udara telah digerakkan secara bersepadu di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan kesemua mangsa.
Jelasnya, tumpuan sektor pencarian aset laut kini meliputi keluasan 118.4 batu nautika persegi, manakala pencarian melalui udara merangkumi keluasan 509.6 batu nautika persegi di perairan One Fathom Bank.
"Aset-aset yang terlibat dalam operasi ini terdiri daripada Bot PENGGALANG 1 dan pesawat udara CL415MP (Bombardier) daripada Maritim Malaysia, bot RH 16 milik PPM serta sebuah bot daripada pihak bomba," ujarnya.
Kata beliau, operasi kini sedang giat diteruskan susulan ketujuh-tujuh pemancing termasuk tekong bot tersebut masih gagal dihubungi.
"Sebarang perkembangan terkini mengenai operasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," ujarnya.