SANDAKAN - Seorang tekong bot bertindak melarikan diri bagi mengelak dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dipercayai cuba menyeludup keluar minyak masak paket bersubsidi di perairan Sungai Tanjung Batu, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, sebanyak 1,020 paket minyak masak bersubsidi berjaya dirampas daripada bot berkenaan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Zon Sandakan, Komander Maritim Ahmad Firdaus Shaari berkata, kejayaan itu hasil rondaan dan pemantauan berterusan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.
"Bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas di kedudukan kira-kira 0.01 batu nautika barat laut Sungai Tanjung Batu.
"Semasa pasukan operasi menghampiri bot berkenaan, seorang lelaki yang dipercayai tekong bot bertindak memecut laju menuju ke sungai sebelum memasuki kawasan bakau dan melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan 60 bungkusan yang mengandungi minyak masak bersubsidi dengan anggaran keseluruhan sebanyak 1,020 paket bersama dua enjin sangkut Yamaha," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah.
"Kesemua barang rampasan bersama bot yang dianggarkan bernilai RM60,550 telah dibawa ke Jeti IPMZ Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Firdaus berkata, cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan dalam jumlah kecil menunjukkan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa.