Bendera lambang negara, bukan alat populariti politik - Sharmin

Iklan
Sharmin

SHAH ALAM - Rakyat akan menilai sama ada perjuangan politik berhubung isu bendera negara benar-benar demi kepentingan rakyat dan negara atau sekadar untuk meraih populariti.

Pensyarah Kanan Universiti Antarabangsa INTI, Dr Sharmin Kutty Sivaraman berkata, isu bendera sejak kebelakangan ini mengundang pelbagai retorik dalam arena politik, sedangkan ia adalah elemen ideologi negara yang termaktub dalam Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

Iklan
Iklan

“Perkara berkenaan telah dididik sejak peringkat awal kanak-kanak hingga ke universiti dan diajar bagaimana mengibarkan bendera serta memahami kepentingannya.

“Persoalan utama ialah bagaimana isu ini dibawa oleh pemimpin,” katanya dalam program Wacana Sinar Edisi 481 bertajuk Kerana Malaysia Milik Kita Bersama yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Turut dijemput sebagai panelis ialah Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Ab Muis; peguam serta pemerhati politik, Tai Zee How; manakala Ismail Adnan bertindak sebagai hos program.

Menurut beliau, manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan tetapi cara terbaik adalah dengan mendidik, bukan memporak-perandakan keadaan atau mengapi-apikan perkara kecil.

Iklan

“Betul, isu ini dilihat besar tetapi ada cara menyelesaikannya. Jangan sampai ia dijadikan modal politik yang akhirnya merugikan rakyat,” katanya.

Beliau menambah, selepas pilihan raya umum lalu, parti-parti berbeza ideologi berada di bawah satu payung sama, namun perbezaan pandangan itu lama-kelamaan menimbulkan kerenggangan.

“Adakah mengapi-apikan sentimen ini memberi keuntungan politik jangka pendek kepada pemimpin tetapi akhirnya membawa kesan jangka panjang kepada rakyat? Rakyat sedang menilai dan akan membuat keputusan,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan, persoalan utama ialah sama ada perjuangan dilakukan demi rakyat dan negara atau hanya untuk populariti.

“Selepas insiden bendera terbalik, beberapa kejadian sama turut berlaku di sekolah. Ia membuka mata masyarakat bahawa bendera bukan elemen yang boleh dipandang ringan kerana ia identiti negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, jika isu ini terus dibangkitkan tanpa penyelesaian menyeluruh, ia boleh membawa kepada perpecahan dan menjejaskan perpaduan.