SHAH ALAM - Setiap umat Islam perlu menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian sama ada dalam urusan pekerjaan, kekeluargaan mahupun bermasyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, dengan bertilawah, bertadarus dan bertadabbur, manusia memperoleh pedoman dalam menghadapi cabaran dunia moden yang kian mencabar.
“Penting untuk kita menjadi umat yang berpegang teguh kepada firman ALLAH agar mampu menjadi contoh ikutan dalam membina keluarga, masyarakat dan negara.
“Malaysia #QuranHour 2025 akan menjadi ruang bagi umat Islam memperbaharui semangat cinta kepada al-Quran.
“Ia mengajak seluruh lapisan masyarakat kembali kepada pedoman wahyu sebagai benteng menghadapi pelbagai cabaran kehidupan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Malaysia #QuranHour tahun ini akan berlangsung pada 30 Ogos dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara.
Memasuki tahun ke-11 penganjurannya bakal mengetengahkan misi #ResetRasa selari tema besar iaitu ‘Merdeka Dengan Rasa’ berpandukan tiga surah utama seperti Surah Al-Saff, Surah Al-Balad dan Surah Ali Imran.
Tambah Namanzee, tahun ini, Malaysia #QuranHour mengetengahkan tiga surah utama iaitu Surah Ali Imran, Surah Al-Saff dan Surah Al-Balad.
“Surah Ali Imran mengisahkan keluarga Imran serta para nabi dan rasul dengan penuh pengajaran serta bukti kebenaran Al-Quran. Ia turut menekankan peranan ayat muhkam yang jelas sebagai hukum, di samping mengingatkan adab dalam menghadapi ayat mutasyabih yang berkaitan dengan keimanan dan perkara ghaib.
“Sementara itu, Surah Al-Saff menyeru umat Islam agar bersatu dalam saf perjuangan agama meskipun wujud perbezaan pandangan. Kesatuan yang utuh amat penting dalam mempertahankan syariat serta memperkukuh usaha dakwah.
“Surah Al-Balad pula menekankan kepentingan amal ma’ruf nahi munkar,” katanya.
Menurutnya, Malaysia #QuranHour juga jelas menjadi ruang bagi umat Islam memperbaharui semangat cinta kepada al-Quran.