Gunung Jerai yang menjadi tarikan pelancong ke Kedah menjanjikan panorama indah dari ketinggian 1,217 meter, menyimpan 1,001 misteri dan khazanah bernilai.
Tidak hanya terkenal dengan kewujudan Telaga Tok Sheikh yang dikaitkan dengan penyebaran Islam oleh seorang ulama dari Tanah Arab, ia juga merupakan mercu tanda maritim di rantau Nusantara.
Tidak cukup dengan itu, di kaki Gunung Jerai dan Sungai Merbok pula adalah saksi nyata terletaknya kesan Tamadun Awal Asia Tenggara hasil ekskavasi dan penemuan artifak yang telah pun dikenal pasti kesahihannya.
Namun yang ingin penulis ketengahkan kali ini ialah berkisar tentang sepohon pokok mengkundor yang usianya kini mencecah lebih 100 tahun masih 'tersembunyi', berdiri megah di gunung tersebut.
Usia itu menjadikan ia antara khazanah alam paling bernilai malah ada pendapat mengatakan ia merupakan pokok tertua di gunung berkenaan.
Kedudukannya yang terletak di laluan denai menuju ke Air Terjun Puteri Mandi, membolehkan pendaki atau pelancong singgah sebelum meneroka hutan simpan tersebut.
Dengan jarak pendakian kira- kira satu kilometer dari Titi Hayun melalui denai hutan, sudah pasti ia pengalaman mencabar dan mengujakan.
Bagi penulis, pengalaman menjejaki pokok mengkundor itu bukan sekadar memenuhi tuntutan kerja namun menyedari bahawa ia adalah bukti keajaiban alam.
Melihat ketinggian yang mencecah sekitar 25 meter setara bangunan 10 tingkat dan lilitan batang memuatkan kira-kira 20 pemeluk orang dewasa, membuka mata tentang betapa nilainya khazanah yang masih tersimpan di Gunung Jerai, untuk tatapan dunia luar.
Pokok berusia ratusan tahun ini jelas berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan unik, seiring dengan usaha kerajaan negeri Kedah memajukan sektor pelancongan.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin yang turut serta dalam pendakian, memberi jaminan bahawa kawasan pokok mengkundor ini bakal dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu negeri.
Menurut Mohd Salleh, perbincangan sedang dilakukan bagi memastikan ia menjadi kenyataan dan pada masa sama turut mementingkan ekosistem alam.
Tidak dinafikan, usaha ini boleh memberi nilai tambah kepada Gunung Jerai yang sememangnya sinonim dengan sejarah, mitos dan tarikan alam semula jadi.
Bagaimanapun, perlu diingat, sesiapa sahaja yang ingin masuk ke kawasan ini wajib mendapatkan permit kerana ia terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Jerai.
Peraturan ini bukan untuk menyulitkan, sebaliknya bagi memastikan kelestarian alam sentiasa terpelihara.
Penulis berpandangan, khazanah ini perlu dipromosikan dengan pendekatan yang seimbang.
Dalam masa sama, pembangunan untuk tujuan pelancongan tidak wajar mengorbankan kelestarian alam sekitar.
Jika dilaksanakan secara sistematik, ia bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada negeri, malah membantu generasi muda menghargai kepentingan hutan simpan.
Pokok mengkundor 100 tahun di Gunung Jerai wajar dijadikan simbol keutuhan alam yang bertahan meskipun berdepan arus pembangunan.
Susah pasti, ia menyimpan rahsia alam, menjadi saksi agung perubahan sejarah dunia, misteri yang tersimpan dan penukaran sistem peradaban manusia sepanjang tempoh 'hidup'.
Beruntunglah rakyat Kedah dan kerajaan diharap terus memelihara keajaiban ini.
* Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Kedah