NEGARA sekali lagi dikejutkan dengan kejadian yang menimpa seorang pelajar Tingkatan Tiga, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi yang kini kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama di Sabak Bernam, Selangor pada Selasa,
Mangsa dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas mengalami pendarahan di kedua-dua belah otak, rahang patah serta kecederaan paru-paru.
Namun yang menarik perhatian umum adalah apabila keluarga mangsa meluahkan rasa tidak puas hati apabila hanya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut kira-kira dua jam selepas ia berlaku.
Malah laporan perubatan turut menimbulkan tanda tanya apabila tiada sisa makanan dijumpai dalam perut mangsa, bertentangan dengan dakwaan bahawa pelajar terbabit terjatuh selepas makan mi segera.
Menjawab dakwaan tersebut, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dalam sidang akhbar lewat petang Selasa menjelaskan bahawa keutamaan dalam situasi kecemasan adalah menyelamatkan nyawa pelajar terlebih dahulu sebelum memaklumkan kepada keluarga.
Baliau turut memaklumkan, siasatan dalaman sedang dijalankan termasuk penempatan sementara pengetua, penolong kanan hal ehwal murid dan semua warden ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi menilai pematuhan terhadap garis panduan Sekolah Selamat serta pengendalian kes buli dan keselamatan asrama.
Namun begitu, kenyataan tersebut belum cukup meredakan kerisauan orang ramai dan Kemenrian Pendidikan (KPM) juga masih belum mengesahkan kewujudan kamera litar tertutup (CCTV) yang sepatutnya menjadi keperluan asas dalam pemantauan keselamatan pelajar.
Sebagai langkah jangka pendek dan panjang, KPM perlu mempergiat audit keselamatan di semua sekolah berasrama dengan setiap warden harus diberi latihan pengurusan krisis dan pemantauan pelajar.
Pemasangan CCTV wajib disegerakan di lokasi strategik seperti koridor dan laluan asrama dan dalam masa sama, saluran aduan yang selamat serta rahsia harus diwujudkan supaya pelajar tidak takut untuk melaporkan insiden buli
Kes Ahmad Irfan bukan kes terpencil dan tidak harus dibiarkan menjadi statistik.
Sekiranya budaya buli tidak ditangani dengan tegas dan telus, negara berisiko kehilangan lebih banyak nyawa muda yang sepatutnya sedang membina masa depan.