Kubur Syamsul Haris akan digali semula secepat mungkin - Saifuddin

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Foto kecil: Saifuddin Nasution. FOTO - SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Pusara pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin akan digali secepat mungkin bagi membolehkan proses bedah siasat kali kedua dijalankan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak polis akan membantu memudahkan proses gali semula itu susulan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.

Iklan
Iklan

“Keputusan telah dibuat, sama seperti kes adik Zara (Zara Qairina Mahathir). Ia satu proses yang serius sebenarnya, melibatkan pasukan perubatan, keluarga dan polis.

“Peranan polis adalah memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan dan kita akan memudahkan (facilitate). Kita tidak perlu pertikai lagi, dan ia akan dilakukan (gali kubur) secepat mungkin,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby pada Selasa.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur pelatih Palapes UTM Skudai, Syamsul Haris, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor, digali semula.

Iklan

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Katanya, proses menggali semula kubur Syamsul Haris bertujuan membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Dalam prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden.

Pada 28 Julai lalu, anak sulung daripada tiga beradik itu meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa khas mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.

Beliau berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.

Pada 1 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian pelatih Palapes berkenaan.

Susulan itu, Ummu Haiman Bee Daulatgun memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar selaku responden pertama dan kedua.