Rasuah: Pegawai DBKL antara 3 direman empat hari

Iklan
Tiga individu ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah.

PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah sejak 11 tahun lalu, direman empat hari sehingga Jumaat ini.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kesemua suspek direman sehingga 29 Ogos 2025 selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 50-an itu ditahan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat SPRM Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang antara jam 12 tengah hari Isnin hingga 1 pagi Selasa.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam rasuah sejak 2014, di mana seorang suspek yang juga pemilik syarikat didakwa membayar rasuah kepada pegawai berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi terbabit.

Iklan

“Susulan tangkapan itu, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000, empat peranti telekomunikasi, dua kenderaan jenis Lexus RX500h dan Mini Cooper, selain beberapa beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton,” katanya.

Sumber itu berkata, SPRM turut membekukan 19 akaun perbankan milik individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai lebih RM7 juta.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek, dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.