SIK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak berhasrat mencela pihak yang memfitnah beliau, sebaliknya meminta semua pihak menjadikan perkara itu sebagai pengajaran.
"Saya tak suka nak mencela orang yang buat saya, cukuplah ini jadi pengajaran untuk kita semua, masing-masing pakat jaga, itu saja.
"Saya harap beri pengajaran juga kepada saya, jangan buat kerja macam itu juga kepada orang lain. Alhamdulillah, saya harap yang buruk jadi sempadan, yang baik jadi contoh teladan kepada orang ramai," katanya berhubung kes saman fitnah yang berpihak kepadanya sebelum ini.
Muhammad Sanusi ditemui selepas menghadiri Program Kebajikan dan Advokasi Perundangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Kedah 2025 di sini pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Tinggi Alor Setar mendapati Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersalah memfitnah Muhammad Sanusi berhubung tuduhan mencuri unsur nadir bumi (REE) serta penyelewengan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) pada tahun 2023.
Berikutan itu, Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tersebut.
Selain itu, Saifuddin diarahkan memohon maaf secara terbuka yang perlu diterbitkan di sebuah akhbar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman serta beberapa tuntutan lain.
Bagaimanapun, Saifuddin telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk mengemukakan rayuan kerana berpendirian terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu setelah meneliti keputusan berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kebenaran akhirnya terserlah walaupun beliau terpaksa menempuh proses perundangan di mahkamah.
"Pertama sekali, syukur kehadrat ALLAH SWT yang telah menyerlahkan kebenaran walaupun terpaksa pergi ke mahkamah. Sebenarnya, tak perlu pun ke mahkamah kalau masing-masing pakat jaga, bercakap atas landasan yang benar, tidak mereka-reka cerita, tidak bertujuan memberi reputasi buruk dengan cara yang salah kepada orang.
"Cukuplah kita masing-masing jaga. Masyarakat akan lebih baik, terutama bila kita diberikan jawatan penting, jawatan kanan dalam Kerajaan Persekutuan. Bila kita bercakap, orang lebih mudah percaya berbanding dengan JKK di kampung ini," katanya.