BUKIT MERTAJAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Tengah sedang mengesan ibu bapa kandung seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di Wad 1, Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah, Mohamad Fawwaz Mohamad Daud berkata, bayi perempuan itu ditinggalkan oleh ibu bapa kandungnya yang bukan warganegara Malaysia.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, ibu kandung kepada bayi berkenaan dikenali sebagai Phyo Thiri Kyaw dengan nombor dokumen perjalanan MF932171 manakala maklumat bapa kandung tidak diperoleh.
“Bayi berkenaan ditinggalkan oleh ibu kandungnya di Wad 1, Hospital Seberang Jaya sejak 18 Ogos 2025 selepas dibenarkan keluar oleh pihak hospital.
“Namun, ibu bapanya tidak kelihatan selepas dibenarkan keluar, malah panggilan telefon juga tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mohamad Fawwaz berkata, permohonan Pengecualian Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diluluskan bagi tujuan siaran media.
Katanya, waris atau orang awam yang mengenali ibu bapa kandung kanak-kanak terbabit diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Mohamad Fawwaz di talian 04-538 2584 atau melalui alamat e-mel fawwaz@jkm.gov.my.