Jenayah siber catat RM1.22 bilion kerugian

Iklan
Mohd Khalid (dua kiri) bergambar selepas Siri Dialog Khas III PDRM di ibu kota pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM1.22 bilion kerugian direkodkan akibat aktiviti jenayah siber dari Januari hingga Oktober 2024.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, antara jenayah yang dikesan melibatkan penipuan kewangan, penipuan dalam talian, manipulasi identiti serta pencerobohan data secara haram.

Iklan
Iklan

"CyberSecurity Malaysia melaporkan lebih 5,900 insiden berlaku pada 2023 termasuk 3,705 kes penipuan.

"Terdapat peningkatan yang mengejutkan sebanyak 1,100 peratus dalam laporan kebocoran data berbanding tahun sebelumnya. Angka-angka ini menonjolkan kesan sebenar, gangguan ekonomi dan kehilangan kepercayaan terhadap ekosistem digital," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvesyen Sime Darby di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Khalid menyeru supaya PDRM menyesuaikan diri untuk menangani cabaran itu secara langsung.

"PDRM akan melaksanakan kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran dan pengurusan serta penugasan bagi meningkatkan keupayaan menangani jenayah siber.

"Dengan pelaksanaan AI, saya percaya banyak masalah dapat diatasi dan juga mengurangkan kebergantungan kepada modal insan itu sendiri," katanya.

Mengulas siri dialog PDRM, Mohd Khalid berkata, ia berfungsi sebagai platform utama untuk bertukar pandangan operasi, merangka cadangan dasar dan menggalakkan kerjasama strategik.

"Sesi ketiga ini memberi tumpuan kepada kerumitan dan kesegeraan jenayah siber yang semakin meningkat, menjadikannya topik yang sangat relevan dan kritikal dalam persekitaran hari ini," katanya.