WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang menghukum individu membakar bendera negara itu dengan penjara setahun, lapor Al-Jazeera.
Tindakan itu bercanggah dengan keputusan Mahkamah Agung pada 1989 yang mengiktiraf perbuatan membakar bendera sebagai kebebasan bersuara di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan.
Trump menegaskan mereka yang membakar bendera akan dipenjara setahun tanpa pengurangan hukuman dan rekod kesalahan itu akan kekal sepanjang hayat.
Kumpulan kebebasan bersuara mengecam langkah tersebut dengan menyifatkan Trump tidak mempunyai kuasa untuk mengubah Pindaan Pertama hanya dengan tandatangan perintah eksekutif.
Perintah berkenaan turut mengarahkan Peguam Negara, Pam Bondi untuk mendakwa pesalah terbabit hingga ke tahap maksimum yang dibenarkan undang-undang.
Ia mendakwa tanpa bukti bahawa pembakaran bendera digunakan oleh warga asing untuk mengugut dan menakutkan rakyat Amerika.
Arahan itu juga menyatakan warga asing yang didapati bersalah boleh berdepan pembatalan visa, pengusiran serta tindakan imigresen lain.
Pakar undang-undang menolak hujah Trump bahawa pembakaran bendera mencetuskan rusuhan besar, dengan menyifatkannya sebagai “penyelesaian kepada masalah yang sebenarnya tidak wujud”. - Agensi