UALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lima kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Terengganu sejak Jumaat hingga Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menghargai kerjasama baik yang diberikan oleh penganjur dan peserta sepanjang program berkenaan.
“Kita berharap peserta program itu lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi mengelakkan berlakunya kemalangan maut,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini pada Selasa.
Mohd Yusri berkata, perkara itu termasuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sekiranya terdapat peserta yang melakukan kesalahan seperti menunggang secara berbahaya atau mengganggu pengguna jalan raya lain.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang telah menunjukkan sikap positif selain memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan aspek keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, empat kes kematian direkodkan akibat kemalangan membabitkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 yang dalam perjalanan ke acara berkenaan.
Program RXZ Members 7.0 yang dianjurkan di Gong Badak, Kuala Nerus hujung minggu lalu menghimpunkan ribuan pemilik serta peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.
Acara tahunan itu turut menampilkan pelbagai aktiviti komuniti dan pameran berkaitan dunia permotoran.