SHAH ALAM – Tarikh dan masa penggalian semula pusara pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin akan ditentukan oleh Ketua Polis Negara (KPN).
Peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili ibu Allahyarham Syamsul Haris berkata, Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa hanya mengeluarkan perintah supaya kubur digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Bagaimanapun, beliau berkata, tarikh proses itu bermula hanya akan diputuskan oleh KPN.
“Usaha untuk mendapatkan perintah penggalian telah berjaya, maka ketika ini usaha tertumpu kepada tindakan susulan daripada KPN dan pihak lain seperti Majlis Agama Islam untuk bertindak.
“Kita harap dapat digali secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas ditanya sama ada proses penggalian akan dijalankan malam Selasa.
Pada Selasa, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memerintahkan penggalian semula kubur Syamsul Haris, 22, bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas penggalian bermula.
Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Semasa membaca keputusan berkenaan, hakim berkata, pihak KPN selaku responden pertama akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung kepada guru itu yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di sini.
Pada 28 Julai lalu, anak sulung daripada tiga beradik itu meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.
Pada 1 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian pelatih Palapes itu.
Susulan itu, Ummu Haiman Bee memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan KPN, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, selaku responden pertama dan kedua.