KONFLIK antara Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador kini memasuki fasa baharu selepas tindakan undang-undang diambil.
Isu tercetus apabila Rafizi mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan Farhash dengan serangan terhadap anaknya pada 13 Ogos lalu.
Menurut laporan media, polis mengesahkan kejadian serangan terhadap anak lelaki bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di sebuah pusat beli-belah di Sepang.
Dalam kejadian pada jam 2 petang itu, anak kepada Ahli Parlimen Pandan berusia 12 tahun berkenaan difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Farhash menafikan tuduhan tersebut dan melalui firma guamannya, beliau menuntut Rafizi menarik balik kenyataan, memadam kandungan video di Facebook serta membuat permohonan maaf terbuka dalam tempoh 48 jam.
Pada Isnin, Rafizi mengesahkan beliau telah menerima surat tuntutan ‘cease and desist’ daripada Farhash.
Surat tuntutan berkenaan menyifatkan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Farhash dengan serangan terbabit sebagai palsu, berunsur jahat dan menjejaskan reputasi beliau, khususnya ketika siasatan polis masih dijalankan.
Rafizi berkata, walaupun menerima surat berkenaan bertarikh 22 Ogos lalu, beliau tetap bertegas bahawa kenyataannya adalah berdasarkan fakta dan sedia mempertahankannya di mahkamah.
Selain itu, Rafizi turut memaklumkan bahawa beliau telah melantik peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri untuk menguruskan kes berkenaan.
Perkembangan ini memperlihatkan pertikaian antara kedua-dua pihak tidak hanya berhenti pada kenyataan awam tetapi telah bergerak ke medan undang-undang.
Ia dijangka menjadi perhatian kerana melibatkan figura politik berprofil tinggi dan isu reputasi dan kredibiliti peribadi.