SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour 2025 bakal berlangsung pada 30 Ogos ini membawa mesej yang amat relevan dengan semangat kemerdekaan di bawah tema Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, surah al-Saff dipilih sebagai rujukan utama kerana kandungannya menekankan peri pentingnya kesatuan, keikhlasan, disiplin dan keberanian dalam memperjuangkan kebenaran.
"Ayat-ayat dalam surah ini menjadi panduan untuk membina kekuatan masyarakat yang bukan sahaja taat kepada ALLAH, malah mampu memainkan peranan penting dalam membangunkan negara.
"Dalam konteks Malaysia Madani, kita melihat empat golongan yang perlu disantuni dengan penuh tanggungjawab dan adab. Pertama, rakyat yang saling menyantuni antara satu sama lain. Kedua, pemimpin yang memikul amanah besar.
"Ketiga, ahli Parlimen sebagai pembuat dasar dan keempat, penjawat awam yang menjadi pelaksana dasar negara," katanya ketika program Interviu yang dihoskan Haizir Othman di Studio F, Kompleks Karangkraf di sini pada Isnin.
Malaysia #QuranHour tahun ini dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos dari jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari dengan lokasi perdana di Masjid Negara Kuala Lumpur dan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara.
Sebagai penyiar utama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan program itu secara langsung bersama sinergi media lain seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.
Dalam pada itu Marhaini berkata, Malaysia #QuranHour 2025 membawa misi #ResetRasa iaitu satu seruan untuk semua golongan masyarakat agar kembali menyemak arah perjuangan dan meningkatkan sensitiviti terhadap penderitaan di sekeliling.
"Surah al-Saff khususnya ayat 14 memperlihatkan peranan empat golongan utama iaitu pemimpin, pembina dasar, penjawat awam dan rakyat untuk membentuk saf kukuh dengan rasa, sabar dan kasih sayang," katanya.
Beliau berkata, tema ‘Merdeka dengan Rasa’ menyeru masyarakat membebaskan diri daripada keangkuhan dan ketidakadilan ke arah pembentukan masyarakat yang adil, berihsan dan saling menyantuni.
"Malaysia #QuranHour bukan sekadar kempen membaca al-Quran tetapi satu gerakan nilai yang menyeru rakyat merasai, menyahut dan bertindak berpaksikan ALLAH SWT sebagai pusat perjuangan," katanya.
Beliau menambah, menyantuni tidak sekadar bermaksud berbuat baik secara individu tetapi merangkumi usaha kolektif dalam membina masyarakat berakhlak mulia, berintegriti dan saling menghormati.
Ujarnya, semangat inilah yang diyakini dapat mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara Madani yang seimbang dari sudut rohani, sosial dan pembangunan ekonomi.
Marhaini turut menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk menjadikan Malaysia #QuranHour sebagai ruang refleksi diri dan momentum memperkukuhkan perpaduan.
"Apabila rakyat, pemimpin, pembuat dasar dan penjawat awam sama-sama menyantuni serta berpaksikan nilai al-Quran, maka kita akan melihat Malaysia yang lebih harmoni dan berdaya saing.
"Ayuh bersama-sama Malaysia #QuranHour walau di mana sahaja anda berada menerusi siaran televisyen mahupun platform media sosial. Inilah peluang untuk kita mencari hidayah ALLAH.
"Mungkin ada di antara kita sedang berdepan kesusahan, kesulitan atau berada dalam kegelapan hidup. Carilah al-Quran, serahkan diri sepenuhnya kepada ALLAH, nescaya Dia akan memandu kita ke arah kebaikan dan kemerdekaan sebenar," katanya.