Rasuah, salah guna kuasa cemar kredibiliti pengurusan Islam - MBFM

Iklan
Ahmad Faizal.

SHAH ALAM - Rasuah dan salah guna kuasa dalam pengurusan hal ehwal Islam boleh menjejaskan kredibiliti institusi agama sekali gus menggugat keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan di negara ini.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Ahmad Faizal Sulaiman berkata, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan serius kerana agama adalah tunjang pembentukan moral dan sahsiah rakyat, khususnya umat Islam.

Iklan
Iklan

“Jika integriti pengurusan agama tercalar akibat perbuatan tidak beretika, ia memberi kesan domino terhadap imej negara, melemahkan kepercayaan rakyat dan menghakis semangat masyarakat untuk menghormati institusi Islam yang sepatutnya menjadi benteng keteladanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dalam pengurusan hal ehwal Islam di negeri itu.

Iklan

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin dalam satu kenyataan berkata, sebarang salah laku akan ditangani secara tegas mengikut undang-undang kerana ia boleh menjejaskan imej institusi Islam serta keyakinan masyarakat.

Beliau merujuk pendedahan media baru-baru ini berhubung dakwaan salah laku rasuah seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam urusan bayaran kompaun halal.

Iklan

Ahmad Faizal menegaskan, semua pihak berkuasa agama di seluruh negara perlu memperkukuh mekanisme pemantauan dan kawalan dalaman agar kejadian sama tidak berulang.

Menurutnya, integriti institusi agama memainkan peranan penting dalam membina negara yang lebih sejahtera, bersih dan dihormati di mata dunia.

“Belia Felda mengimpikan institusi agama yang berwibawa, bebas rasuah dan menjadi contoh teladan kepada generasi muda.

“Saya juga berharap pihak berkuasa kekal konsisten dan berani bertindak tanpa pilih kasih, agar masyarakat khususnya generasi belia dapat menanam keyakinan bahawa pengurusan Islam di negara ini benar-benar dilandasi prinsip keadilan, integriti dan amanah,” ujarnya.