JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah bernilai RM2.67 juta serta menahan empat individu termasuk dua wanita warga Vietnam dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dari 18 hingga 20 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Assad berkata, modus operandi sindiket berkenaan dengan menjadikan pangsapuri mewah di sekitar bandar raya ini sebagai stor pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran.
“Menerusi serbuan pertama yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam berusia dalam lingkungan 29 hingga 33 tahun selain menemui pelbagai jenis dadah di dua unit pangsapuri daripada empat unit yang diserbu.
“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas dadah dianggarkan bernilai RM1.21 juta membabitkan 7.1 kilogram (kg) serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), lebih kurang 1.25 kg atau 39 paket serbuk ekstasi yang dibungkus dalam paket minuman jus berperisa, 11 gram ketamin serta 230 biji atau 69 gram pil ekstasi.
“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM7,050 dan dua bentuk cincin emas bernilai RM4,300,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Isnin.
Ab Rahaman berkata, dalam serbuan kedua di pangsapuri berhampiran, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun selain merampas 8.3 kg serbuk MDMA, 5.6 kg serbuk ekstasi atau 169 paket yang dibungkus dalam paket jus minuman berperisa, 19 botol dadah cecair, 11 gram ketamin, 10 biji pil ekstasi dan empat biji pil Eramin 5 dengan keseluruhan rampasan bernilai RM1.48 juta.
Menurutnya, dalam serbuan itu juga polis merampas beberapa alatan memproses serta membungkus dadah dan menyita sebuah kereta bernilai RM30,000.
“Kita percaya sindiket ini mula beroperasi sejak April hingga Julai lalu. Jumlah dadah daripada kedua-dua serbuan ini boleh digunakan seramai 52,839 penagih.
“Tiga daripada suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan.
“Kesemua suspek direman sehingga 27 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua wanita Vietnam itu disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 bagi pengesahan ketulenan dokumen perjalanan mereka,” katanya.