ALOR SETAR – Dakwaan lebih 100,000 belia di Kedah menganggur disifatkan tidak berasas dan bercanggah dengan statistik rasmi kerajaan, kata Exco Sumber Manusia, Wong Chia Zhen.
Beliau berkata, data tersebut bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negeri ini serta mencemarkan imej Kedah sebagai destinasi pelaburan dan pembangunan modal insan.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Kedah telah menurun secara konsisten dan kini berada pada paras 1.7 peratus bagi Suku Keempat 2024, antara yang terendah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa jumlah pengangguran belia di Kedah mencecah enam angka, sekali gus mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, dengan jumlah tenaga buruh negeri sekitar 1.4 juta orang daripada populasi 2.13 juta, angka pengangguran sebenar di Kedah adalah kurang daripada 25,000 orang.
“Jadi, dakwaan bahawa 100,000 belia menganggur adalah jauh tersasar dan tidak selari dengan fakta rasmi. Ia satu tohmahan yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Untuk perbandingan, kadar pengangguran nasional berada sekitar 3.1 hingga 3.2 peratus dengan lebih 530,000 penganggur direkodkan di seluruh negara.
Tambahnya, Kerajaan Kedah sentiasa komited memperkukuh peluang pekerjaan melalui kerjasama dengan agensi persekutuan seperti Kementerian Sumber Manusia, PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja serta rakan industri.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program peningkatan kemahiran, penganjuran karnival kerjaya dan usaha menarik pelaburan baharu bagi mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Menteri Sumber Manusia sekiranya wujud isu sebenar yang perlu ditangani, namun menegaskan bahawa penyebaran angka tidak tepat adalah tindakan berniat jahat.
“Saya menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan berpandukan fakta rasmi, bukan fitnah atau propaganda. Kerajaan Negeri akan terus bekerja keras demi memastikan rakyat menikmati peluang pekerjaan yang adil dan saksama selaras dengan visi The Greater Kedah 2035,” katanya.