IPOH – Seorang wanita cedera selepas hampir keseluruhan badannya melecur dalam kebakaran melibatkan tiga rumah di Taman Perajurit, Ipoh Timur, Tambun di sini pada Isnin.
Dalam kejadian yang dilaporkan pada jam 10.39 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 40-an mengalami kemelecuran tahap tiga.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mangsa telah dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
“Kebakaran melibatkan tiga rumah teres jenis Kelas A dengan kemusnahan antara 10 hingga 80 peratus.
“Api berjaya dikawal pada jam 11.10 pagi sebelum operasi pemadaman diteruskan dengan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi sisa bara api,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dengan bantuan BBP Meru Raya, Ipoh serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Operasi melibatkan seramai 15 anggota serta empat jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT),” katanya.