PAC dedah kelemahan perancangan tanah KL, gesa reformasi segera

Iklan
PAC mendedahkan pembatalan rizab tanah awam dan kawasan hijau yang sudah diwartakan dalam PTKL tetapi kemudiannya diberi milik kepada pemaju sebagai isu kritikal yang menjejaskan kualiti hidup penduduk serta ekologi bandar raya. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mas Ermieyati

SHAH ALAM – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati pembatalan rizab tanah awam dan kawasan hijau yang sudah diwartakan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL), tetapi diberi milik kepada pemaju, merupakan isu kritikal yang menjejaskan kualiti hidup penduduk serta fungsi ekologi bandar raya ini.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, terdapat kelemahan dalam sistem perancangan pembangunan tanah Kuala Lumpur yang memerlukan semakan semula, terutama berkaitan kewajaran pembangunan seperti pemberimilikan tanah bagi projek berdensiti tinggi di kawasan paling lapang atau hijau.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pelanggaran terhadap PTKL yang berterusan menjadi penyebab pembangunan tidak terkawal, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai pihak lain untuk turut memohon pembangunan.

“Proses pertimbangan dan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berkaitan pemberimilikan tanah tidak melibatkan ahli Parlimen yang mewakili kawasan terjejas.

Iklan

“Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dan Akta Perancangan 1982 (Akta 267) memberi kuasa kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mengawal pembangunan Kuala Lumpur sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, turut dibentangkan Penyata PAC berkenaan pembangunan tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Iklan

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, pengurusan pembangunan tanah di Kuala Lumpur membabitkan pelbagai agensi dan jawatankuasa serta terdapat proses penilaian tertentu bergantung kepada kaedah-kaedah tanah sedia ada.

“Formula kiraan premium tanah yang digunakan sejak 30 tahun lalu menyebabkan nilai pemberimilikan tanah tidak sejajar dengan harga pasaran, sekali gus menyebabkan tanah kerajaan dijual dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran yang boleh membawa kerugian. PAC mengambil maklum formula yang digunakan sejak 30 tahun ini akan ditambah baik dan dipinda sewajarnya.

“Terdapat tanah yang sudah diserahkan kepada pemaju untuk pembangunan walaupun terdapat aset infrastruktur milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di tanah berkenaan. Adakalanya permohonan pemberimilikan tanah oleh JPS turut ditolak,” katanya.

Sebagai contoh, Mas Ermieyati menjelaskan pemberimilikan Lot 54780 seluas 0.86 ekar di Taman Desa, Kuala Lumpur, yang pada asalnya adalah tanah rizab balai polis, sudah diputuskan Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan untuk diberikan kepada pemaju biarpun terdapat bantahan daripada kerajaan.

“(Selain itu) merujuk kepada isu kolam takungan Kampung Bohol, pandangan dan bantahan 1,275 penduduk tidak diambil kira serta dipertimbangkan dalam pemberimilikan tanah berkenaan kepada pemaju,” katanya.

Justeru, katanya, PAC menggesa penambahbaikan dan reformasi berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur dilaksanakan, dengan kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa tetap untuk memantau hal ehwal tanah termasuk pemberimilikan dan pembangunan tanah Kuala Lumpur yang turut membabitkan penyertaan ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, kerajaan perlu menyemak semula dan membuat pindaan sewajarnya terhadap akta berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur seperti Akta Ibu Kota 1960 dan Akta Perancangan 1982 (Akta 267) bagi memperkenalkan sistem ahli majlis lantikan DBKL sebagaimana dilaksanakan di negeri-negeri lain demi memastikan wujudnya mekanisme semak dan imbang.

“Kerajaan perlu memastikan penjualan tanah kerajaan dibuat secara telus dan terbuka melalui tender mengikut prosedur yang jelas serta menyeluruh dan bukannya secara rundingan terus.

“Kerajaan juga wajar mempersiapkan Kuala Lumpur menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin meruncing dengan memastikan semua kolam takungan banjir mencapai tahap perlindungan purata selang ulangan (ARI) seperti ditentukan JPS.

“Kerajaan hendaklah memastikan tanah-tanah yang mempunyai aset dan infrastruktur JPS diberi milik kepada jabatan itu supaya reka bentuk asal terus dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut memaklumkan sesi penerangan akan diadakan esok oleh PAC di Dewan Rakyat berkaitan isu pembangunan tanah Kuala Lumpur, dengan sesi perbahasan turut membabitkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.