Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah makin baik, kini kedudukan 54

Iklan
Malaysia naik ke tangga ke-54 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025. Foto hiasan

 

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 menunjukkan peningkatan apabila berada di tangga ke-54 berbanding ke-57 pada tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Berdasarkan CPI 2025 yang diumumkan Transparency International Malaysia (TI-M) pada Selasa di mana Malaysia juga mencatatkan skor 52 mata, meningkat daripada 50 mata bagi 2024 dan 2023.

Presiden TI-M, Raymon Ram berkata, ia berdasarkan 13 kajian dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah sektor awam di 182 negara serta wilayah di seluruh dunia.

Iklan

"Peningkatan ini juga membuktikan usaha pencegahan antirasuah, tindakan penguatkuasaan dan komitmen tadbir urus diiktiraf pada peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Raymon, bagaimanapun kemajuan ini perlu dilihat sebagai satu langkah ke hadapan, bukannya titik perubahan muktamad.

Iklan

Jelasnya, menjadi cabaran utama kini adalah untuk mengekalkan dan mempercepatkan reformasi secara konsisten dari tahun ke tahun sekiranya Malaysia ingin mencapai sasaran Perdana Menteri untuk berada dalam kelompok 25 negara teratas CPI menjelang 2033.

"Beberapa faktor yang berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan skor CPI Malaysia pada tahun 2025 termasuk pengenalan Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 yang memperluaskan pengawasan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta pengenalan ketelusan pemunyaan benefisial melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024.

"Selain itu, faktor lain adalah tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap pegawai kanan awam dan ahli politik elit, serta cadangan undang-undang baharu seperti rang undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan dan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat," katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa masih terdapat kelemahan ketara, khususnya dari segi kelajuan dan kedalaman reformasi institusi dan perundangan.

"Antara kebimbangan utama TI-M, adalah risiko rasuah dalam perolehan kerajaan berskala besar dan berisiko tinggi jika kuasa budi bicara tidak diperketatkan serta pemantauan bebas tidak diinstitusikan sepenuhnya.

"Peningkatan awal CPI harus dilihat sebagai isyarat potensi, bukan perubahan sistemik. Tanpa pelaksanaan berkesan, retorik dan komitmen dasar akan kehilangan kredibiliti," katanya.