KUALA NERUS – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa simpati terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhi hukuman penjara terhadap pemimpin itu pada Selasa.
Ahmad Zahid berkata, beliau berharap keluarga Mohd Isa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian tersebut.
"Saya berharap keluarga beliau tabah dan sabar menghadapi dugaan ini serta dipermudahkan segala urusan selaras dengan proses perundangan yang sedang berjalan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penggulungan Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 di sini, pada Selasa.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula hari sama selepas disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, kira-kira 12 tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali selepas menerima rayuan pendakwaan untuk mensabitkan semula bekas Naib Presiden UMNO berkenaan.
Dalam keputusan itu, pemimpin berusia 77 tahun berkenaan turut dikenakan denda berjumlah RM15.45 juta.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan keseluruhan adalah enam tahun berbanding hukuman asal 54 tahun penjara.