SHAH ALAM - Kerajaan disaran melaksanakan tindakan undang-undang yang lebih adil dalam menangani jenayah perbankan agar institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi turut menanggung risiko serta kerugian bersama pendeposit.
Presiden Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (Jasanusa), Samsudin Awang berkata, beberapa negara di Eropah seperti United Kingdom telah melaksanakan undang-undang sedemikian yang mewajibkan institusi perbankan dan syarikat telekomunikasi membayar pampasan kepada orang ramai yang menjadi mangsa penipuan perbankan akibat kecuaian pihak bank.
Menurutnya, Malaysia wajar mencontohi pendekatan itu agar rakyat terus yakin dengan sistem perbankan negara.
“Jika tiada undang-undang yang lebih tegas dan adil, pelabur antarabangsa akan hilang keyakinan terhadap negara kerana ekosistem ekonomi digital yang sangat lemah. Dalam masa sama, syarikat telekomunikasi di Malaysia membuat untung berbilion ringgit atas wang orang ramai.
“Institusi perbankan dan syarikat telekomunikasi perlu turut dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka juga bertanggungjawab secara mutlak dalam melindungi data perbankan dan data peribadi pendeposit.
“Ketika ini, hanya pendeposit yang menanggung implikasi apabila wang dicuri melalui kaedah perbankan dalam talian, sedangkan pihak bank dan syarikat telekomunikasi tidak menanggung sebarang kerugian walhal mereka yang bertanggungjawab penuh terhadap infrastruktur perbankan dalam talian seperti nombor telefon, SMS OTP, aplikasi perbankan dan pangkalan data pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah Samsudin, apabila penjenayah siber berjaya melarikan wang melalui sesuatu transaksi dalam talian, ia membuktikan pihak bank gagal menapis dan menyekat transaksi mencurigakan atau tidak sah.
Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan kelemahan sistem keselamatan institusi perbankan dan tidak wajar orang ramai sahaja yang menanggung kerugian manakala bank serta syarikat telekomunikasi melepaskan tanggungjawab.
“Adalah sangat tidak adil apabila institusi perbankan dan syarikat telekomunikasi membuat keuntungan atas transaksi dan wang simpanan orang ramai, tetapi apabila berlaku kerugian atau risiko, hanya pendeposit yang menanggungnya,” katanya.