Gagal letak tanda harga, peniaga bazar Ramadan berdepan tindakan 24 jam - Armizan

Iklan
KPDN memberi amaran tegas kepada peniaga bazar Ramadan untuk memaparkan tanda harga dengan jelas. Foto hiasan

SABAK BERNAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tegas kepada peniaga bazar Ramadan supaya mempamerkan tanda harga dengan jelas atau berdepan tindakan penguatkuasaan dalam tempoh 24 jam.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pematuhan terhadap peraturan penandaan harga adalah wajib dan sebarang kegagalan meletakkan tanda harga akan dipantau serta diambil tindakan segera.

Iklan
Iklan

"Mana-mana peniaga yang tidak meletakkan harga, salurkan maklumat kepada kami dan maklumkan bazar Ramadan mana dan kami akan pantau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Ihsan Food Bank (i-FB)@PSIS di Politeknik Sultan Idris Shah di sini pada Khamis.

Iklan

Armizan berkata, pemantauan di bazar Ramadan bukan perkara baharu, sebaliknya menjadi program tetap kementerian setiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Beliau berkata, selain aspek harga, penguat kuasa KPDN turut digerakkan ke bazar Ramadan bagi memastikan tiada elemen pencatutan, selain memantau pematuhan undang-undang oleh peniaga.

Iklan

Dalam masa sama, katanya, kerajaan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan bekalan barangan khususnya bahan mentah mencukupi bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan yang boleh menyebabkan kenaikan harga.

"Kalau bekalan tidak mencukupi, ia akan mengganggu dan memberi kesan kepada harga. Sebab itu bermula tahun lalu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penstabilan Bekalan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN.

"Kita juga mengadakan perbincangan bersama kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi memastikan bekalan mencukupi ketika permintaan meningkat," tambah beliau.

Armizan berkata, usaha bersepadu itu menunjukkan hasil apabila dua tahun kebelakangan ini tiada isu besar berkaitan bekalan menjelang musim perayaan.

"KPDN akan terus memastikan bekalan mencukupi sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri supaya harga barangan tidak melambung tinggi, sekali gus melindungi pengguna," tambah beliau.