KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, penyampai radio dan personaliti televisyen, Nana Mahazan menyifatkan Malaysia #QuranHour sebagai detik istimewa untuk ‘merdeka’ daripada resah kehidupan dengan kembali kepada al-Quran sebagai panduan utama.
Menurut pemilik nama penuh Nurul Hana Che Mahazan, program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bukan sekadar kempen tahunan, sebaliknya sebuah gerakan besar yang mampu menyatukan rakyat Malaysia di bawah kalam ALLAH.
“Subhanallah, bila sebut tentang Malaysia #QuranHour, hati saya memang sangat tersentuh. Program ini bukan sekadar kempen, tetapi usaha besar untuk mengajak kita kembali kepada al-Quran sebagai penenang dan cahaya hidup.
“Ia sangat istimewa kerana menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang, berhenti seketika, membuka mushaf dan menghayati ayat-ayat ALLAH. Ibarat recharge jiwa, buang resah, kembali segar dengan kalam-Nya,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mengulas mengenai Malaysia #QuranHour 2025 yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini, sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-68, penyampai segmen FnN Pagi di stesen radio Zayan itu menyeru masyarakat meluangkan sedikit masa walaupun sibuk dengan urusan harian.
“Saya ingin mengajak semua, bayangkan jika seluruh negara berhenti seketika dan sama-sama membaca al-Quran. Betapa kuatnya aura itu!
“Insya-ALLAH, keberkatan bukan sahaja untuk diri kita, tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara. Bila kita bersatu dengan al-Quran, ALLAH akan satukan hati-hati kita juga. Jadi, marilah kita jadikan Malaysia #QuranHour sebagai rutin, bukan setahun sekali sahaja,” ujarnya penuh harapan.
Mengimbas kenangan peribadi, ibu kepada dua cahaya mata itu sempat berkongsi pengalaman manis sejak kecil yang mengajarnya untuk sentiasa dekat dengan al-Quran.
“Antara kenangan paling saya ingat dan tidak dapat dilupakan masa kecil dulu apabila ustaz saya, Pakcik Hamid, garang sampai takut nak pergi kelas tetapi tetap pergi mengaji.
“Bila dewasa, walau sibuk macam mana pun, kena luangkan masa. Kadang-kadang bila hati sempit, bila buka mushaf, rasa tenang. Al-Quran memang peneman jiwa,” katanya.
Edisi ke-11 Malaysia #QuranHour akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini dengan tema ‘Merdeka Dengan Rasa’. Masjid Negara, Kuala Lumpur akan menjadi lokasi perdana, manakala ribuan lokasi lain turut serta secara serentak.
Program ini mendapat naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Sekretariat Merdeka, Masjid Negara, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam (MPAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Rumah Ngaji serta Sahabah al-Quran dalam dan luar negara.
RTM bertindak sebagai penyiar utama bersama rakan media termasuk Sinar Harian, Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.