RUU Pekerja Gig 2025 tidak boleh diluluskan tergesa-gesa

Iklan
Enam persatuan p-hailing dan e-hailing menegaskan RUU Pekerja Gig 2025 tidak wajar diluluskan tergesa-gesa kerana boleh menambah kos sara hidup, menjejaskan ekonomi digital dan membebankan pekerja. Gambar hiasan

SHAH ALAM – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 tidak boleh diluluskan secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan pelan reformasi menyeluruh yang menyelesaikan isu akar umbi industri, bukannya undang-undang separuh masak.

Enam persatuan mewakili penghantar p-hailing dan e-hailing berkata, mereka sentiasa menyokong usaha kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), namun RUU berkenaan perlu jelas mengenai bidang kuasa kementerian lain.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, RUU tersebut juga perlu menjelaskan mekanisme kilanan (tidak puas hati), menyelesaikan isu tambang serta kadar upah sebelum menambah caruman baharu.

"Perbahasan pra-RUU perlu dilakukan secara terbuka dan inklusif dengan melibatkan suara pekerja gig sebenar. Perlindungan sosial penting, tetapi ia mesti dilaksanakan secara progresif, sukarela dan selari dengan realiti sektor.

Iklan

"Malaysia tidak boleh terperangkap dalam undang-undang populis yang mengekang peluang pekerjaan, menaikkan kos hidup dan melemahkan daya saing digital negara," kata gabungan persatuan itu dalam kenyataan bersama pada Sabtu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan sebagai mengulas kenyataan Gabungan eHailing Malaysia (GEM) yang menyifatkan RUU Pekerja Gig 2025 sebagai 'perisai melawan eksploitasi moden'.

Iklan

Enam persatuan terbabit ialah Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak, serta Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Menurut mereka, adalah lebih sesuai RUU itu dinamakan sebagai RUU Pekerja eHailing dan pHailing memandangkan tiada suara sektor lain diperdengarkan sekiranya penyeragaman ingin dilakukan dalam mengawal industri tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, RUU berkenaan masih jauh daripada menjawab persoalan asas mengenai masa depan ekonomi digital negara dan boleh menimbulkan implikasi besar jika dilaksanakan secara tergesa-gesa.

"Jika mekanisme baharu diperkenalkan tanpa penyelarasan, ia akan menimbulkan pertindihan dan kekeliruan. Mekanisme kilanan yang dicadangkan juga mesti diperjelaskan dengan teliti supaya melibatkan bukan sahaja syarikat, tetapi juga pemandu dan penghantar," tegas kenyataan itu.

Mereka turut meluahkan kebimbangan bahawa RUU tersebut yang bakal mewajibkan caruman keselamatan sosial dan sumbangan majikan akan meningkatkan kos operasi platform.

"Akibatnya, tambang e-hailing dan caj penghantaran berpotensi meningkat, sekali gus menambah beban pengguna ketika kos sara hidup semakin menekan," jelas mereka.

Enam persatuan terbabit juga berpandangan bahawa perlindungan sosial sebenarnya telah diwajibkan di bawah Akta 789, maka potongan tambahan daripada setiap tempahan hanyalah pengulangan sistem sedia ada yang akan membebankan pekerja gig.

"Isu yang lebih mendesak adalah kadar tambang e-hailing dan kadar upah p-hailing. Adakah punca kuasa yang kini terletak di bawah Kementerian Pengangkutan akan diambil alih oleh Kesuma?" soal kenyataan itu.

Mereka turut mengingatkan bahawa kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan caruman sukarela Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan insentif i-Saraan KWSP.

Oleh itu, RUU baharu ini dikhuatiri akan menggandakan lapisan birokrasi dan bercanggah dengan pendekatan fleksibel sedia ada, sekali gus menimbulkan kekeliruan dasar.