Operasi pembenihan awan di tiga negeri bermula esok - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (dua dari kiri) bersalaman bersama ahli pemukiman yang hadir pada Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi di Kuala Nerus hari ini. Foto Bernama

KUALA NERUS - Beberapa operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di tiga negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak mulai esok hingga Ahad (15 Februari) ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi pembenihan awan itu dibuat berikutan paras air beberapa empangan di negeri tersebut semakin menyusut disebabkan cuaca panas yang berterusan.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini kita sedang mengalami musim Monsun Barat Daya. Meskipun (paras air di empangan) hanya di peringkat amaran tetapi kita tidak mahu tunggu sampai ke peringkat kritikal baru hendak berusaha,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Penggulungan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, lokasi yang terlibat dengan operasi pembenihan awan tersebut ialah Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap di Johor, masing-masing akan dilakukan pada esok, Khamis dan Ahad.

Iklan
Iklan

Pada Jumaat dan Sabtu pula, katanya, lokasi yang terlibat ialah Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah serta Empangan Bukit Merah di Perak. - Bernama