Nurul Ashikin cipta sejarah, wanita tunggal jadi malim gunung di Gunung Senyum

Iklan
Nurul Ashikin (kanan) di puncak Gunung Senyum

TEMERLOH - Kapten (PA) Nurul Ashikin Mohd Anuar, 37, muncul sebagai satu-satunya wanita bergelar malim gunung dan yang termuda daripada 10 malim di Taman Eko Rimba Gunung Senyum di sini.

Dilantik secara rasmi sejak April lalu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bera (APM) itu membuktikan kemampuan dirinya memecahkan dominasi lelaki dalam bidang malim gunung.

Iklan
Iklan

“Saya mula aktif dalam aktiviti pendakian sejak zaman sekolah lagi sebelum menganjurkan trip promosi Gunung Senyum di media sosial sehingga kawasan ini kembali meriah.

“Pada April lalu saya dilantik secara rasmi sebagai Malim Gunung Perhutanan Negeri Pahang. Tugas ini menuntut komitmen tinggi kerana perlu mengurus pendakian dan memastikan keselamatan pengunjung sehingga keluar pintu rimba,” kata anak kelahiran Felda Jengka 23 itu.

Iklan

Menurutnya, penglibatan sebagai malim gunung turut memberikan pendapatan sampingan antara RM300 hingga RM600 seminggu ketika hutan dibuka, bergantung kepada jumlah pengunjung.

Anak keempat daripada lima beradik itu juga mengakui perlu bijak membahagikan masa bagi dua kerjaya tersebut.

Iklan

“Selain pembahagian masa, cabaran utama sebagai malim adalah mengekalkan kecergasan diri kerana trek Gunung Senyum mencabar dan memerlukan stamina tinggi.

“Kadangkala saya perlu mendaki dua kali sehari jika ada pendaki terkandas. Malim juga berdepan ancaman ribut, trek licin serta haiwan berbisa seperti ular kapak dan kala jengking,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Pejabat Hutan Daerah Temerloh yang sentiasa memberi latihan serta bimbingan kepada malim tempatan.

Beliau berkata, Gunung Senyum mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan dengan purata lebih 200 permit pendakian dikeluarkan setiap minggu.

“Kawasan ini boleh dijadikan lokasi kem motivasi, latihan asas survival dan team building kerana malim di sini berpengalaman luas.

“Kami juga bergerak secara rasmi melalui Persatuan Malim Gunung dan Rekreasi Temerloh Bera bagi menyelenggara trek,” jelasnya.

Gunung Senyum setinggi 486 meter yang terletak di Felda Jengka 25 berusia jutaan tahun dan mempunyai 25 gua dengan pelbagai nama unik serta klasik termasuk Gua Terang Bulan dan Gua Makam Tok Long, kaya dengan formasi stalaktit dan stalagmit yang menakjubkan.

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Pahang turut menjadikan puncak Gunung Senyum sebagai pusat origin koordinat bagi negeri ini kerana kedudukannya terletak di tengah Pahang.