ISKANDAR PUTERI – UEM Group Berhad (UEM Group) melalui sayap kebajikan dan kelestariannya, Yayasan UEM telah menaiktaraf Jambatan ECO Link di SIREH Park bagi menambahbaik peranan taman hijau berkenaan dalam menyokong agenda pembangunan lestari Johor selari dengan Visi Hijau Johor 2030.
Majlis perasmian jambatan sepanjang 65 meter serta penanaman 100 pokok baharu di taman berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Onn Hafiz dalam ucapannya berkata, usaha UEM Group membangunkan kawasan hijau itu membuktikan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada perumahan dan infrastruktur, sebaliknya turut merangkumi aspek kelestarian alam.
“UEM Group sinonim dengan projek pembangunan utama negara, termasuk Lebuhraya Utara Selatan dan projek perumahan moden UEM Sunrise di Johor. Hari ini kita lihat UEM Group bukan sahaja membina rumah berkualiti, tetapi turut menyediakan kawasan hijau untuk kesejahteraan rakyat.
"SIREH Park ini bukan sekadar taman rekreasi, malah menjadi ikon hijau Johor. Saya turut mencadangkan agar sebuah zoo mini diwujudkan sebagai tarikan keluarga dan pendidikan ekologi untuk generasi muda,” katanya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad.
SIREH Park, singkatan kepada Sustainable, Initiatives, Recreation and Education Haven, dibangunkan oleh UEM Sunrise dan mula dibuka kepada orang awam pada 2017.
Dengan keluasan 343 ekar, ia diiktiraf sebagai taman rekreasi komuniti hijau bandar terbesar di negara ini oleh Malaysia Book of Records dan kini diuruskan oleh Nusajaya Natural Heritage Trust.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, Aishah Nor berkata, pihaknya berpegang teguh kepada misi memberi kesan positif kepada komuniti dan alam sekitar.
“Komitmen kami diterjemahkan melalui pembangunan SIREH Park dan projek ekologi yang menyumbang ke arah bandar mesra alam, bukan sahaja mensejahterakan kehidupan masyarakat, malah menyediakan ruang untuk flora dan fauna terus berkembang,” jelasnya.
Sejak pelaksanaan program Plant That Tree, lebih 10,000 pokok berjaya ditanam di SIREH Park dalam tempoh kurang sedekad dan pihak pengurusan menyasarkan penanaman 25,000 pokok menjelang 2028.
Jambatan ECO Link yang sebelum ini dikenali sebagai Hill Bridge dibina sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, namun tidak digunakan selepas temasya berkenaan dibatalkan akibat pandemik Covid-19.
Bersempena perasmian jambatan itu, Yayasan UEM dan SIREH Park turut menganjurkan program Eco-Day yang mempromosikan gaya hidup lestari melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan rekreasi.
Lebih 600 pengunjung menyertai program berkenaan antaranya pertandingan seni kitar semula dan cabaran STEM menggunakan bahan boleh dikitar semula, ia dimenangi Sekolah Menengah Kabangsaan (SMK) Mutiara Rini dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Tun Aminah.