SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memperluaskan kempen kesedaran menolak budaya buli bukan sahaja di sekolah, malah meliputi institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan juga komuniti setempat.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Sukan Negeri dan penggerak belia Selangor untuk turun ke sekolah-sekolah bagi menjalankan kempen antibuli.
"Kita ada lebih 250 penggerak belia di seluruh negeri yang akan mula mendekati sekolah dengan menganjurkan program kesedaran mengenai bahaya buli.
“Namun, kita tidak mahu kempen ini terhenti di sekolah sahaja kerana nilai anak-anak itu sebenarnya bermula di rumah," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mydin Mart Seksyen 13 di sini pada Jumaat.
Beliau memberitahu, ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak supaya tidak terlibat dalam kes buli.
Menurut Najwan, pihaknya turut berbincang dengan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari bagi merangka program melibatkan ibu bapa termasuk kursus keibubapaan.
Selain itu, katanya, pihaknya juga mencadangkan supaya modul kursus perkahwinan ditambah baik dengan memasukkan elemen keibubapaan.
"Modul ini penting supaya bakal ibu bapa dididik mengenai tanggungjawab mendidik anak-anak agar tidak terbabit dalam budaya buli.
“Buli bukan sahaja berlaku di sekolah, ia juga boleh terjadi di universiti, tempat kerja, kawasan kejiranan malah di jalan raya dan usaha menolak budaya ini mesti digerakkan secara menyeluruh,” tambah beliau.