Dua lelaki didakwa rompak guna senjata tiruan

Iklan
Ketiga-tiga tertuduh dibawa anggota polis ke Mahkamah Kuala Selangor pada Jumaat.

KUALA SELANGOR – Dua lelaki termasuk seorang pelajar institusi kemahiran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata tiruan di daerah ini, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Taufiq Haiqal Edi Fazlee, 22, dan Muhammad Ezkil Mohamad Nor, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik seorang lelaki tempatan iaitu wang tunai berjumlah RM700.

Kedua-dua tertuduh turut melakukan kesalahan sama terhadap seorang wanita warga tempatan melibatkan wang tunai RM600.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan di dua premis perniagaan di sekitar Pasir Penambang dan Tanjong Karang masing-masing jam 5.30 pagi pada 5 Ogos dan 6.45 pagi, 6 Ogos lalu.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak dan Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Peguam S Muthuveeran yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan kedua-duanya masih menuntut di institusi kemahiran dan bekerja di sektor swasta.

"Mereka juga merupakan anak tempatan dan risiko untuk melarikan diri amat minimum," katanya.

Nurul Mardhiah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dan RM8,000 dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 30 September depan.

Sementara itu, Muhammad Taufiq turut berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam, bersama seorang lagi tertuduh, Abdul Hanif Abdul Rahim, 27.

Mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah beg tangan milik wanita tempatan di dalam sebuah kedai di Bukit Rotan pada jam 2.13 petang, 31 Julai lalu.