SEREMBAN - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian anggota polis, Isnin lalu.
Tertuduh, K Kelvin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta jenis Perodua Bezza telah memandu kenderaan itu dengan kandungan alkohol dalam badan melebihi had yang ditetapkan sehingga menyebabkan kematian kepada Naim Mullah Mohd Affandi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.25 pagi di Jalan Temiang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Temiang, di sini, pada 18 Ogos lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 44(1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun dan denda RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shafatihah Nor Azmi memohon jaminan RM60,000 dengan mengambil kira keseriusan kes dan hukuman yang berat.
Menurutnya, tertuduh bekerja sebagai kelindan lori dan bukan penjawat awam yang dibimbangi melarikan diri selain Nor Shafatihah memohon supaya lesen memandu tertuduh ditarik balik.
Peguam, A Krishnaveni yang mewakili tertuduh dalam hujahan rayuannya memaklumkan, tertuduh disabitkan di Mahkamah Sesyen sebelum ini dan dijamin ibunya yang juga seorang ibu tunggal.
Tambahnya, ibu tertuduh juga menyara empat anak lain dan memohon wang jaminan yang munasabah kerana penjamin membuat akujanji akan memastikan kehadiran tertuduh pada setiap prosiding.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta memerintahkan lesen memandu digantung serta merta.
Sebutan semula pada 16 Oktober.
Media sebelum ini melaporkan anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya dikatakan dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk dekat Jalan Temiang.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang berpangkat Konstabel parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, jam 2.24 pagi.