Pelaburan MBI: Tiga pemilik syarikat tersenarai Bursa Malaysia ditahan

Iklan
Mohd Khalid melihat gambar individu yang ditahan dan aset disita.

KUALA LUMPUR – Tiga pemilik syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia antara enam individu terbaharu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam pelaburan MBI menerusi Op Northern Star yang dijalankan di seluruh negara sejak 26 Julai hingga 15 Ogos lalu.

Keenam-enam individu terbabit termasuk seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an ditahan dalam operasi oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Mohd Ismail berkata, daripada enam individu yang ditahan, tiga daripadanya memiliki gelaran Datuk Seri dan Datuk.

“Siasatan mendapati, ketiga-tiga mereka memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Dua daripada mereka bergelar Datuk terlibat dalam perniagaan telekomunikasi dan pemajuan perumahan, manakala dua lagi individu merupakan penjaga kebun dan akauntan kebun durian.

Iklan

“Datuk Seri dan dua lagi Datuk dipercayai bertindak sebagai proksi yang menerima wang daripada dalang pelaburan MBI, Tedy Teow, bagi tujuan pengubahan wang haram. Wang itu disalurkan kepada perniagaan hartanah, pembelian aset, kebun dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Jumaat.

Mohd Khalid berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan kesemua individu dalam pelaburan MBI.

Iklan

“Kesemua tangkapan telah direman antara empat hingga 12 hari bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Antara aset yang dibekukan dan disita termasuk 88 akaun bank melibatkan jumlah RM10,538,160.96; 398 juta unit saham dianggarkan bernilai RM86,857,452 daripada dua syarikat tersenarai di Bursa Malaysia; dan wang tunai sebanyak RM300,600.

“Kita turut menyita tujuh kenderaan mewah, lima utas jam tangan mewah, dua beg tangan berjenama, enam telefon bimbit serta pelbagai dokumen berkaitan,” katanya.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan sejak Op Northern Star dimulakan pada Mac lalu mencecah RM6,648,744,672.84.

“Pasukan AMLA turut menyita sebuah lagi syarikat pemaju hartanah yang terlibat, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan buah syarikat yang telah disita setakat ini,” katanya.

Daripada sembilan syarikat itu, lima adalah berasaskan hartanah, dua terlibat dalam perladangan kelapa sawit, kelapa, albasia, getah dan durian, manakala dua lagi menjalankan perniagaan berasaskan perhotelan.

“Kebun durian yang terlibat melibatkan keluasan 7,981.2 hektar merangkumi kawasan di Balik Pulau, Pulau Pinang (55 ekar); Kulim, Kedah (21 ekar); dan Gua Musang, Kelantan (19,644.038 ekar),” katanya.

Tambah beliau, pihak polis komited untuk meneruskan siasatan secara menyeluruh dan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Kerjasama orang awam amatlah dialu-alukan. Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan aset atau hasil daripada pelaburan MBI diminta tampil dan memberikan kerjasama kepada pasukan siasatan menerusi AMLA,” katanya.

Terdahulu, pada 30 Mei lalu, Datuk Muhammed Hasbullah memaklumkan bahawa seramai 17 individu telah ditahan berkaitan kes penipuan pelaburan MBI, dengan jumlah aset yang dibekukan dan disita ketika itu mencecah RM3.81 bilion.

Tangkapan tersebut termasuk usahawan bergelar 'Tan Sri' dan 'Datuk Seri' yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim pelaburan berkenaan. Mereka ditahan di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air menerusi Op Northern Star.