BAYANGKAN Nabi Zakaria AS berdoa tanpa henti lebih 50 tahun memohon zuriat walaupun isterinya mandul dan usianya semakin lanjut.
Ia kedengaran mustahil pada logik akal manusia, namun, ALLAH SWT YANG MAHA BERKUASA akhirnya mengurniakan Baginda anak iaitu Nabi Yahya AS ketika umurnya sekitar 80 tahun.
Begitulah juga apabila berdoa agar kita dijemput menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci. Walaupun mungkin terpaksa menunggu masa lama atau terbatas kemampuan kewangan, doa yang tulus dan usaha berterusan menjadi kunci utamanya.
Menurut pendakwah, Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid, ibadah haji memang jemputan ALLAH SWT, tetapi itu tidak bermakna seseorang boleh duduk diam tanpa usaha.
ALLAH SWT berfirman: “Dan manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.” (Surah an-Najm: 39)
“Semakin bersungguh-sungguh kita berusaha, ALLAH akan beri lebih lagi,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Usaha yang dimaksudkan, kata Nazir Masjid Taman Sutera Kajang, Selangor itu, termasuklah mendaftar haji, menabung, menghadiri kursus persediaan dan membuat rayuan rasmi kepada Lembaga Tabung Haji.
“Menurut Imam Ibnu Kathir, ayat ke-39 surah an-Najm menyuruh kita berusaha bersungguh-sungguh dalam kebaikan kerana setiap langkah dan apa yang dilakukan, walaupun tiada hasil, tetapi tetap beroleh pahala.
“Sama seperti berdoa, ada yang ALLAH makbulkan, ada diganti dengan sesuatu yang lain atau ditangguhkan. Apa yang penting, jangan berhenti berdoa sebab kadangkala ALLAH tangguhkan sebab DIA hendak melihat kesabaran hamba-NYA,” terangnya.
Usah sekadar berharap keajaiban
Dalam pada itu, Ustaz Bakhtiar Fitri mengingatkan agar umat Islam tidak bergantung kepada doa semata-mata tanpa tindakan.
“Sayidina Umar Al-Khattab RA pernah menegur orang yang enggan bekerja, tetapi mendakwa bertawakal.
“Kata beliau, mereka itu sebenarnya pendusta. Ini mesej besar bahawa tawakal mesti didahului dengan usaha,” ungkapnya.
Seperkara lagi, beliau juga berpesan agar bakal jemaah haji ataupun umrah tidak mengambil mudah soal ilmu.
Ini kerana katanya, ramai yang memilih jalan singkat dengan menguruskan perjalanan sendiri (DIY) tanpa bimbingan, lalu terdedah kepada risiko besar.
“Pergi haji atau umrah tanpa ilmu akan menyulitkan ibadah. Sebab itu kursus haji sangat penting supaya kita faham peraturan, syarat dan amalan di sana,” jelasnya.
Sekalipun seseorang perlu menunggu giliran panjang, menghadapi kekangan kewangan atau masalah kesihatan, penceramah itu menjelaskan, semuanya merupakan ujian Sang Pencipta untuk menakar kesabaran hamba-NYA.
Betulkan cara berfikir, sentiasa bersedia
Menyambung hujah, Ustaz Bakhtiar Fitri menegaskan, soal haji atau umrah bukanlah tentang ‘bila’, tetapi ‘bagaimana’.
“Jangan tanya ‘Bila saya akan pergi haji?’ Sebaliknya tanya, ‘Adakah saya sudah bersedia?
“Sebab kalau nama ‘naik’ esok, kita tak boleh beri alasan tak sempat bersedia,” katanya mengingatkan.
Selain usaha, beliau turut menekankan pentingnya istiqamah dalam amalan harian.
“Bacalah al-Quran setiap hari walau satu muka surat atau bersedekah walaupun RM2.
“Amalan sebegini bila dilakukan istiqamah akan membuka pintu rezeki dan memudahkan urusan termasuk urusan haji,” jelas beliau.
Menurutnya, istiqamah dalam kebaikan itulah yang menjadi asbab ALLAH memandang usaha hamba-NYA.
“Bila ALLAH melihat hamba itu tidak jemu berbuat baik walaupun sedikit, maka lebih mudah untuk DIA menjemput ke rumah-NYA.
“ALLAH lihat bukan sahaja solat kita, tetapi juga amalan harian dan hubungan sesama manusia. Semakin kita dekat dengan ALLAH melalui istiqamah, semakin hampir juga kita kepada jemputan haji,” katanya mengakhiri bicara.
ANEKDOT
Amalan dan doa jemput rezeki haji
- Amalan istiqamah walaupun kecil lebih dicintai ALLAH berbanding amal besar, tetapi terputus.
- Contohnya, membaca al-Quran setiap hari walau satu muka surat boleh menjadi asbab ALLAH memudahkan jalan ke Tanah Suci.
- Sedekah membuka pintu rezeki termasuk untuk menunaikan haji.
- Istighfar dan selawat merupakan amalan yang melapangkan rezeki serta memudahkan urusan.
- Jaga hubungan dengan ALLAH SWT dan sesama manusia mempercepatkan doa makbul.
- Tiada doa khusus untuk pergi haji, tetapi ada doa umum tentang rezeki yang boleh diamalkan antaranya:
1. Allahumma akfini bihalalika ‘an haramika, wa aghnini bifadhlika ‘amman siwak (Ya ALLAH, cukupkan aku dengan rezeki-MU yang halal dan jauhkanlah diriku daripada sesuatu yang ENGKAU haramkan dan berikan aku kekayaan dengan kurnia-MU sehingga aku tidak memerlukan bantuan selain-MU).
2. Rabbana atina fid-dunya hasanah, wa fil-akhirati hasanah, waqina ‘azabannar (Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka).