Nekad jual kilang demi tunai haji

Iklan
SETIAP kali melihat Kaabah di kaca televisyen mahupun mendengar orang bertalbiah, Ummi Kalthum menangis tersedu-sedu menahan kerinduan untuk menunaikan ibadah haji sebelum doanya dimakbulkan ALLAH pada tahun lalu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Keinginan mendalam mendorong Ummi Kalthum lepaskan harta untuk sahut panggilan Ilahi ke Tanah Suci

KEINGINAN yang mendalam untuk menunaikan haji mendorong Ummi Kalthum Muharam, 41, menjual kilang kuih sejuk beku yang menjadi sumber rezekinya selama lebih 10 tahun.

Segalanya dilakukan demi memenuhi hajatnya yang membuak untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima walaupun sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci menunaikan umrah sebelum ini.

Iklan
Iklan

“Umrah pertama saya pada 2011 kerana diajak ibu mentua. Ketika itu saya pergi dalam keadaan ‘paksa rela’, rasa seperti melancong.

“Umrah kedua pada 2020 pula sangat berbeza kerana ketika itu saya sudah belajar al-Quran,” ceritanya kepada Sinar Islam Plus.

Iklan

Walaupun pernah ke Tanah Haram, keinginan untuk menunaikan haji belum pernah hadir sekuat itu sehinggalah pada 2023, ALLAH SWT menghadirkan rasa luar biasa dalam hatinya.

UMMI KALTHUM -Foto IHSAN UMMI KALTHUM MUHARAM

Iklan

“Sampai satu saat saya tidak tahan lagi. Saya berdoa, ‘Ya ALLAH, saya nak pergi haji tahun ini’,” imbasnya.

Namun, apabila menyemak giliran melalui sistem Lembaga Tabung Haji, beliau mendapati dirinya perlu menunggu 108 tahun lagi.

Tidak berputus asa, beliau bersama suaminya, Mohd Ismee Ismail, 42, mengamalkan doa, bacaan talbiah ‘Labbaikallahumma labbaik, labbaikala syarika laka labbaik, innal hamda wan ni’mata, lakawal mulk, laa syarikalak’ setiap kali selepas solat fardu serta mengulang ayat ke-27 surah al-Fath dengan penuh harapan.

“Saya yakin tiada yang mustahil bagi ALLAH,” katanya penuh keyakinan.

Diuji kewangan, doa dimakbulkan

Sesungguhnya ALLAH MAHA MENDENGAR. Doa Ummi Kalthum termakbul pada tahun 2024 apabila abangnya yang bertugas sebagai mutawif menawarkan dua kuota haji yang berbaki.

HASRAT Ummi Kalthum (kiri) untuk menunaikan haji bersama suaminya, Mohd Ismee akhirnya dimakbulkan pada tahun lalu walaupun berhadapan pelbagai ujian untuk ke Tanah Suci pada awalnya. -Foto IHSAN UMMI KALTHUM MUHARAM

Namun, beliau perlu menyiapkan bayaran dalam masa seminggu.

Memandangkan hasil jualan kilang belum diterima, ibu kepada tiga cahaya mata itu terpaksa menghubungi kakaknya untuk meminjam wang. Dengan linangan air mata, beliau menulis mesej panjang.

Perjalanan hajinya pula sarat dengan keajaiban. Ketika di Arafah misalnya, makanan yang disediakan basi. Namun, beliau reda dan tidak mengeluh.

Hanya lintasan hatinya berkata ‘lapar’. Kuasa ALLAH, beberapa minit kemudian, seseorang datang memberinya makanan panas dan buah-buahan sejuk.

Satu lagi pengalaman unik, beliau bersyukur apabila tidak perlu berasak-asak ke tandas sepanjang wukuf.

“Ramai orang berebut-rebut bilik air dan beratur panjang, malah ada yang marah-marah. Alhamdulillah, saya tak ada rasa nak ke tandas langsung, sedangkan saya makan dan minum seperti biasa.

UMMI KALTHUM (kiri) bersama suaminya, Mohd Ismee ketika mabit (bermalam) di Mina. -Foto IHSAN UMMI KALTHUM MUHARAM

“ALLAH betul-betul beri ruang untuk saya beribadah dengan tenang,” ujarnya.

Rezeki selepas haji

Usai pulang dari Tanah Suci, rezekinya dilapangkan. Kilang yang gagal dijual sebelum berangkat berjaya dicairkan, sekali gus membolehkannya melunaskan hutang kakaknya dengan segera.

Bahkan, rezekinya semakin bertambah. Misalnya, ketika menyertai ekspo jualan di Bintulu, Sarawak, stok kuih sejuk bekunya habis hanya dalam masa tiga hari, sedangkan program berlangsung selama 10 hari.

“Saya terkejut orang berpusu-pusu membeli, seolah-olah tak cukup tangan melayan. Saya hanya mampu cakap ‘Masya-ALLAH, hanya ALLAH yang izinkan semua ini berlaku’,” katanya.

UMMI KALTHUM kini giat berkongsi kisahnya sebagai inspirasi kepada orang ramai dan aktif melakukan kerja-kerja dakwah. -Foto IHSAN UMMI KALTHUM MUHARAM

Kini, usahawan kuih sejuk beku jenama Wan Zaleha itu bukan sahaja aktif berniaga, malah giat berkongsi kisahnya sebagai inspirasi kepada orang ramai.

Sebelum mengakhiri bicara, Ummi Kalthum sempat menitipkan pesanan buat mereka yang merasakan perjalanan haji masih jauh daripada capaian.

“Kalau ada rasa rindu ke sana, mungkin itulah ‘isyarat’ daripada ALLAH. Jangan tunggu pada logik (semata-mata).

“Doa, berusaha dan yakinlah bahawa ALLAH MAHA MAMPU mengaturkan segala-galanya,” pesannya.