KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi penguatkuasaan lain di bawah Kumpulan Keselamatan Pos Kebangsaan (MY-PSG) giat memperkukuh kawalan terhadap rangkaian pos dan kurier yang kerap disalah guna sindiket dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua syarikat kurier diwajibkan memiliki lesen sah, manakala ejen kurier pula perlu beroperasi dengan kebenaran rasmi serta mematuhi prosedur operasi standard syarikat induk.
Menurutnya, ini seiring dengan keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741).
"Statistik terkini menunjukkan peningkatan kes penyeludupan dadah menggunakan perkhidmatan pos.
"Justeru usaha penguatkuasaan perlu diperhebatkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, bagi menambah baik sistem pelaporan, SKMM dengan sokongan JSJN sedang membangunkan Platform Pelaporan Insiden Keselamatan Pos (PIKP) sebagai pusat data dan analisis yang membolehkan pelaporan segera, pemantauan bersepadu dan tindakan pantas terhadap insiden keselamatan pos.
Tegas Hussein, JSJN komited memastikan rangkaian pos dan kurier di Malaysia kekal selamat dan tidak menjadi medium pengedaran dadah.
Media tempatan pada 16 Mei lalu melaporkan kegiatan seorang lelaki menggunakan beberapa syarikat penghantaran barang untuk menghantar bekalan dadah yang diproses kepada pelanggannya terbongkar selepas dia ditangkap di Butterworth, Pulau Pinang bersama dadah bernilai RM2.1 juta.
Selain itu, pada 27 Mac di Iskandar Puteri, Johor, polis bongkar taktik pengedaran dan pemprosesan dadah ke Singapura serta Indonesia menggunakan kurier selepas merampas dadah bernilai RM14.39 juta dan menahan pasangan kekasih.