Makanan Malaysia dinobatkan paling lazat di Expo 2025 Osaka

Iklan
Makanan Malaysia dinobatkan sebagai hidangan paling lazat di Osaka World Expo 2025 oleh Yomiuri TV Jepun. Foto Facebook Tengku Zafrul pada Khamis.

SHAH ALAM - Makanan Malaysia dinobatkan sebagai hidangan paling lazat dalam Osaka World Expo 2025 menerusi satu tinjauan khas oleh stesen televisyen Jepun, Yomiuri TV pada Khamis.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pengiktirafan itu merupakan bukti keunikan dan kehebatan masakan serta hospitaliti Malaysia di mata dunia.

Iklan
Iklan

“Kita selalu kata makanan Malaysia adalah hidangan paling lazat dan pendapat ini dipersetujui oleh pengunjung Expo 2025 Osaka.

“Hidangan di Pavilion Malaysia telah dinobatkan sebagai nombor satu dalam tinjauan khas ‘Expo Gourmet’ yang dijalankan oleh Yomiuri TV,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Tempat kedua bagi kategori tersebut dimenangi oleh Australia, diikuti tempat ketiga yang dikongsi bersama oleh Arab Saudi, Jerman dan Perancis.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan yang terlibat atas usaha mereka di Pavilion Malaysia sepanjang penganjuran ekspo berkenaan.

Iklan

“Pencapaian tersebut amat bermakna kerana tinjauan itu dibuat dalam kalangan pemegang pas musim Expo 2025.

“Jadi mereka ini memang selalu menikmati hidangan di expo tersebut, bukan sekadar pelawat yang datang sekali sahaja,” ujarnya.

Sebelum ini, Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook pada 13 Ogos lalu memaklumkan beliau pernah mencuba salah satu makanan iaitu roti canai di Osaka World Expo 2025.

Menariknya, meskipun roti canai berkenaan dijual pada harga RM50 sekeping, namun ia tetap menarik perhatian ramai sehingga berjaya menjual kira-kira 1,500 keping setiap hari.