Memerang ancam ikan kelah di Tasik Kenyir

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai ikan kelah di Tasik Kenyir dikatakan lesap.

KUALA TERENGGANU – Operasi produk pelancongan Santuari Kelah, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu dilaporkan terjejas sejak 18 Ogos lalu susulan kemunculan haiwan pemangsa iaitu memerang yang mengancam ikan kelah di kawasan berkenaan.

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, kehadiran haiwan tersebut menyebabkan ikan kelah terganggu, kurang jinak, menjauhkan diri dari lubuk serta tidak lagi mendekati pengunjung seperti kebiasaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lokasi berkenaan akan ditutup buat sementara waktu bagi kerja-kerja membaik pulih kawasan tarikan pelancong itu.

"Santuari Kelah akan ditutup sementara bermula 22 hingga 24 Ogos 2025 untuk kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan keselesaan pelancong.

Iklan

"Keadaan kembali pulih setelah Ketengah melaksanakan langkah pencegahan, pemantauan dan proses penjinakkan secara intensif," kata kenyataan tersebut.

Santuari Kelah Sungai Petang merupakan antara tarikan utama Tasik Kenyir yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Iklan

Kawasan itu terletak kira-kira 80 kilometer dari Kuala Terengganu dan boleh diakses melalui Lebuhraya Karak ke Lebuhraya Jerangau-Jabor sebelum melalui Ajil, Kuala Berang dan seterusnya ke Tasik Kenyir.

Mereka yang ingin berkunjung ke situ perlu menaiki bot dari Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit.

Produk pelancongan tersebut menjadi rebutan kerana berteraskan konsep konservasi, iaitu bagi pengekalan dan pembiakan ikan kelah dalam habitat semula jadi.

Kawasan ini diwartakan sebagai kawasan larangan memancing namun pelancong dibenarkan memberi makan, bermain dan mandi bersama ikan-ikan jinak di situ.