Kegagalan FashionValet: PAC kemuka 5 syor tambah baik pelaburan domestik Khazanah

Iklan
Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati kegagalan pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) dalam FashionValet disebabkan syarikat berkenaan mengambil pendekatan strategi Omnichannel yang berisiko.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, kegagalan itu turut didorong kejutan pasaran luaran iaitu pendemik Covid-19 serta perubahan tingkah laku penggunaan pasca pandemik.

Iklan
Iklan

"Terdapat senario yang tidak selari wujud di antara mandat Khazanah untuk menjana pulangan komersil dengan peranannya sebagai instrumen pembangunan negara yang tertakluk kepada arahan-arahan berkepentingan nasional.

"Strategi pelaburan modal teroka Khazanah melalui pendekatan dana kepada dana adalah wajar untuk mencapai objektifnya sebagai pemangkin ekosistem inovasi domestik walaupun sifatnya yang berisiko tinggi," katanya ketika sidang ahbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu beliau memaklumkan, PAC turut mendapati Khazanah mempunyai tadbir urus dalaman yang berlapis untuk saringan dan kelulusan pelaburan.

Mekanisme pengawasan oleh Kementerian Kewangan (MOF) juga menurutnya, didapati berada di peringkat strategik dan tidak mengganggu operasi komersial harian, selaras amalan tadbir urus yang baik.

Iklan

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu memaklumkan, PAC juga mendapati Khazanah tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berhubung proses pascanilai bagi setiap pelaburan yang dilupuskan dengan kerugian yang melebihi had material tertentu.

Sehubungan itu katanya, PAC mengeluarkan empat syor penambahbaikan iaitu Khazanah perlu secara proaktif dan berterusan mendidik orang ramai mengenai strategi dan peluang pelaburan melalui modal teroka termasuk risiko tinggi model ini.

"Laporan tahunan, kenyataan media dan platform komunikasi lain harus digunakan untuk menjelaskan rasional di sebalik pendekatan portfolio dan jangkaan bahawa akan ada pelaburan yang gagal sebagai sebahagian daripada strategi untuk memacu inovasi.

"Khazanah hendaklah mewujudkan satu SOP untuk menjalankan analisis pascanilai bagi setiap pelaburan yang dilupuskan dengan kerugian yang melebihi had material tertentu.

"Laporan pascanilai ini, yang menggariskan punca kegagalan, kelemahan proses dan cadangan penambahbaikan, wajib dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit Lembaga dan lembaga pengarah untuk memastikan akauntabiliti dan pembelajaran institusi," katanya.

PAC turut mengesyorkan Khazanah perlu memperkukuh rangka kerja pengurusan risikonya untuk memasukkan analisis senario yang lebih mendalam terhadap kejutan pasaran bukan kewangan supaya syarikat itu lebih responsif untuk menyusun semula atau keluar daripada pelaburan apabila asas pelaburan berkenaan berubah secara drastik.

Khazanah dalam laporan berkala kepada MOF setiap suku tahun, juga perlu melaporkan perkara berhubung prestasi pelaburan Khazanah bukan sekadar melaporkan prestasi kewangan.