TEMERLOH - Permintaan tinggi terhadap bunga kantan menyebabkan seorang penduduk di Kampung Batu Kapor di sini mengusahakan tanaman itu sejak tiga tahun lalu sekali gus memberikan pendapatan sampingan yang lumayan.
Mohamed Marizie Sohaimi, 65 yang juga peniaga di pasar di Mentakab mengusahakan tanaman itu atau nama saintifiknya, etlingera elatior di ladang seluas 1.2 hektar.
Menurutnya, tanaman itu mampu menjanjikan pendapatan lumayan hingga mampu meraih hingga RM4,000 sebulan.
"Saya menjual bunga kantan sendiri di pasar dengan harga RM1 sebatang selain ada yang membuat tempahan.
"Setakat ini, permintaan memang tinggi terhadap bunga kantan khususnya pada musim perayaan dan saya bersyukur kerana ternyata pilihan menanamnya berbaloi," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, bunga kantan yang sinonim sebagai bahan utama masakan tradisional seperti tomyam, laksa dan nasi kerabu membuatkan ia sentiasa mendapat permintaan tinggi setiap hari.
Malah bunga kantan juga didakwa mampu merawat penyakit gout, darah tinggi dan juga kencing manis serta dikatakan dapat menghilangkan rasa tidak bermaya jika selalu diamalkan memakannya.
Marizie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) itu memberitahu, projek tersebut di bawah Program Pembangunan Kluster Herba dengan bimbingan Jabatan Pertanian Pahang.
"Tanam pokok kantan ini tidak susah dan lagi mudah berbunga bila musim hujan berbanding musim panas selain penjagaan menggunakan baja organik untuk kesuburan.
"Ia juga mudah membiak dan setakat ini ada lebih 1,000 rumpun di sini dan saya memang berhasrat untuk memperluaskan lagi tanaman ini," tambahnya menanam bunga kantan warna merah, merah jambu dan putih di ladang tersebut.
Jelasnya, permintaan lebih terhadap bunga kantan warna merah jambu kerana dikatakan lebih wangi.