Pelajar Tingkatan Empat dakwa dibuli kerana enggan beri wang beli rak buku

Iklan
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Bukit Piatu mendakwa menjadi mangsa buli sehingga mengalami gangguan emosi dan trauma untuk ke sekolah. Gambar hiasan

MELAKA - Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Bukit Piatu mendakwa menjadi mangsa buli sehingga mengalami gangguan emosi dan trauma untuk ke sekolah.

Pelajar berusia 16 tahun itu mendakwa diejek dengan kata-kata menghina termasuk digelar ‘budak miskin’ dan diugut akan dicederakan kerana enggan memberikan wang kepada rakan sekelasnya untuk membeli rak buku.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, kejadian bermula sejak Mei lalu ketika pelajar terbabit masih tinggal di asrama sekolah berkenaan.

“Ketika itu, pelajar berkenaan dan seorang lagi penghuni asrama diminta untuk membuat kutipan wang bagi membeli rak buku untuk kegunaan dua pelajar terbabit, namun mangsa enggan kerana ia melibatkan keperluan peribadi mereka.

Iklan

“Situasi itu menyebabkan mangsa menjadi sasaran ejekan hampir setiap hari oleh dua pelajar terbabit walaupun telah bertukar ke blok asrama lain, sebelum akhirnya bertukar menjadi pelajar harian,” menurut sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, insiden buli tidak terhenti di situ, malah berlarutan sehingga ke dalam kelas apabila mangsa terus diejek secara sinis.

Iklan

Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat aduan kepada guru pada 30 Jun lalu sebelum pelajar yang didakwa membulinya dipanggil pihak sekolah untuk sesi kaunseling.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan baik pelaku didakwa bertindak agresif dengan mahu menampar seseorang selepas sesi kaunseling itu.

“Mangsa yang berasa terancam menceritakan hal itu kepada ibunya, dan wanita berkenaan dikatakan telah membawa perkara itu ke pengetahuan pihak sekolah menerusi mesyuarat pada 3 Julai lalu, namun pihak sekolah menafikan berlaku sebarang kejadian buli,” katanya.

Ekoran merasa nyawanya terancam serta mengalami tekanan emosi dan mental, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir pada tengah hari Isnin untuk melindungi dirinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.

Menurut beliau, pihak sekolah dan keluarga pelajar terbabit telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu itu secara baik.

“Ya, semalam polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Namun, pihak sekolah telah membuat permuafakatan untuk menyelesaikan kes itu secara dalaman kerana ia berpunca daripada salah faham.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.