Malaysia #QuranHour ajak masyarakat hayati erti kemerdekaan

Iklan
Gharizah(tiga dari kiri) mengajak masyarakat menyertai program Malaysia#QuranHour. Foto kecil: Fatimah.

SEREMBAN – Tema “Merdeka Dengan Rasa” yang diangkat sempena program Malaysia #QuranHour kali ini amat bertepatan dalam usaha mengajak masyarakat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.

Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, sebaliknya perlu dihayati dengan kebebasan jiwa dan pemikiran.

Iklan
Iklan

“Berpandukan tiga surah yang dipilih iaitu Surah al-Saff, Surah al-Balad dan Surah Ali ‘Imran, ia membuktikan bahawa al-Quran mencakupi semua aspek kehidupan termasuk dalam konteks membina negara yang bersatu.

“Apabila masyarakat memahami dan menghayati mesej al-Quran, mereka akan lebih bersatu hati, berakhlak mulia serta mempunyai sikap ihsan antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Selain itu, katanya, Masjid Al-Amin Bandar Warisan Puteri di Seremban menjadi lokasi utama penganjuran program terbabit dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 orang.

Ujarnya, seperti tahun-tahun sebelumnya, ia turut melibatkan penyertaan jabatan kerajaan, pelajar dan komuniti setempat.

Iklan

“Memasuki tahun ke-11 penganjurannya, saya dapati ia semakin mendapat tempat di hati masyarakat Islam di seluruh negara daripada pelbagai lapisan usia.

“Program ini bukan sekadar mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran, tetapi turut menghayati maknanya. Sempena sambutan Kemerdekaan kali ini, kita mahu mengajak masyarakat mengambil iktibar daripada kisah-kisah umat terdahulu sebagaimana dirakamkan dalam al-Quran,” katanya.

Selain itu katanya, al-Quran merupakan panduan terbaik sepanjang zaman buat seluruh umat Islam dan apabila mengamalkannya, negara bukan saja dapat melahirkan individu berkualiti, tetapi juga dapat membentuk sebuah negara yang aman dan makmur.

Justeru itu jelasnya, komitmen dan sokongan padu daripada pelbagai pihak amat diperlukan bagi menjayakan program tersebut.

Sementara itu seorang warga emas, Fatimah Abu Bakar,77 berkata, sejak kali pertama penganjuran program berkenaan, dia tidak pernah ketinggalan untuk menyertainya walaupun terpaksa menumpang kenderaan orang lain.

"Bagi saya program ini bagus sangat kerana ia bukan sekadar membaca al-Quran tetapi menghayatinya menerusi sesi taddabur.

"Pemilihan tema kali ini amat tepat dengan hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos yang mana semangat merdeka itu bukan hanya sekadar laungan di mulut, tetapi pentingnya menjiwainya dengan berpandukan kepada al-Quran," katanya.

Malaysia #QuranHour 2025 akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini dengan tema 'Merdeka Dengan Rasa' yang membawa pengisian al-Quran bagi mendidik individu tidak terjebak dalam kekejaman nafsu amarah serta dendam.

Lokasi utama penganjurannya di Masjid Negara Kuala Lumpur yang diadakan bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.