KUALA LUMPUR - Berpura-pura memesan nasi lemak sebelum menampal kod QR milik sendiri di kaunter bayaran menjadi helah seorang lelaki yang cuba mengambil kesempatan mengaut wang pelanggan restoran di ibu negara.
Premis restoran milik Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak, dilaporkan antara yang menjadi sasaran.
Difahamkan, kejadian berlaku pada Isnin apabila lelaki terbabit masuk ke restoran dan memesan tiga bungkus nasi lemak.
Menurut Mohamed Mosin, lelaki itu mengeluarkan satu kod QR dan menampalnya di kaunter bayaran ketika petugas restoran sibuk menyediakan pesanan.
"Lelaki itu kemudian memberi alasan mahu mengambil wang di kereta yang terletak di luar sebelum terus beredar.
"Kejadian hanya disedari apabila ada pelanggan lain membuat bayaran, namun ia tidak masuk ke akaun restoran. Bila diperiksa, barulah pekerja saya dapati kod QR lain ditampal pada kaunter," katanya.
Tambahnya, nasib baik kejadian itu disedari awal kerana ia boleh melibatkan jumlah kerugian yang besar jika berlarutan.
"Dia sempat dapat RM6.60. Saya difahamkan lelaki itu juga menggunakan taktik sama di sebuah premis di Rawang sehari sebelum itu.
"Bayangkan jika dia letak kod QR sendiri di berpuluh-puluh kedai, berapa banyak dia boleh dapat. Saya harap pemilik premis atau pengusaha restoran lebih peka dengan perkara ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," ujarnya.
Satu laporan polis turut dibuat oleh Mohamed Mosin di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung kejadian tersebut.