BACHOK – [DIKEMAS KINI] Dua beradik termasuk seorang anggota bomba dari Bayan Baru, Pulau Pinang, dikhuatiri lemas dalam tragedi perkelahan keluarga di Pantai Kandis berdekatan muara Sungai Gali, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, anggota bomba terbabit, Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, dan adiknya, Ahmad Nurruddin, 21, ke pantai itu bersama kira-kira 20 ahli keluarga untuk beriadah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, ketika kejadian, beberapa ahli keluarga mandi sebelum Ahmad Nurruddin dan anak saudara, Mohd Ali Al-Imran Mohd Ezad, 12, dipercayai lemas.
Katanya, melihat keadaan itu, bapa kanak-kanak terbabit, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, dan Ahmad Badrul Naim bergegas ke pantai cuba menyelamatkan kedua-duanya.
“Bapa kanak-kanak itu berjaya menyelamatkan anaknya dan mereka dapat naik ke darat.
“Ahmad Badrul Naim yang cuba menyelamatkan Ahmad Nurruddin pula hilang dan kedua-dua beradik ini dikhuatiri lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Khairul Fais Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.40 petang dan bergegas ke lokasi bersama 10 anggota.
“Sampai di lokasi, bomba mendapati keadaan ombak besar dengan air pasang.
“Pencarian dilakukan secara di permukaan dan bantuan lapan PPDA Pengkalan Chepa turut dimohon,” katanya.