ALOR SETAR – Pengurusan bekalan air yang dikendalikan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak mungkin diserahkan kepada mana-mana pihak lain kerana syarikat itu terikat dengan klausa perjanjian serta syarat pelesenan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, meskipun terdapat syarikat lain yang berminat untuk mengambil alih peranan SADA, kerajaan negeri akan terus mempertahankan fungsi syarikat tersebut selaku operator bekalan air terawat di negeri ini.
Menurutnya, pengambilalihan peranan SADA sebagai operator utama adalah tidak realistik kerana ia tertakluk kepada syarat lesen dan klausa perjanjian yang menetapkan kerajaan negeri mesti mengekalkan pegangan 100 peratus dalam SADA menerusi Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).
“SADA ditubuhkan di bawah MBI dan dilesenkan sebagai operator air negeri melalui Perjanjian Pengkorporatan 2010 serta Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
“SADA terikat dengan syarat-syarat standard lesen di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Pelesenan) 2007.
“Syarat pelesenan itu bermaksud, apa-apa perubahan dalam pegangan atau pemilikan ekuiti SADA yang 100 peratus dipegang oleh kerajaan negeri melalui MBI tidak boleh dipindah milik tanpa kelulusan menteri terlebih dahulu,” katanya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Rabu.
Beliau menjawab soalan lisan Azhar Ibrahim (Ayer Hitam–Pas) mengenai sama ada kerajaan negeri berhasrat memberi ruang kepada syarikat Ranhill untuk mengambil alih tugas SADA sebagai operator air tunggal negeri.
Azhar berkata, pertanyaan itu berdasarkan siaran media syarikat Ranhill pada 6 Mei lalu yang memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi membincangkan kerjasama strategik dalam pelbagai aspek pembangunan, khususnya perkhidmatan utiliti dan infrastruktur.
Sanusi berkata, selain itu, Klausa 5.1(d) Perjanjian Utama (Migrasi) memperuntukkan kerajaan negeri wajib mengekalkan pemilikan penuh sepanjang tempoh 45 tahun Perjanjian Kemudahan dan Pajakan dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), yang melibatkan hutang air negeri berjumlah RM1.122 bilion.
“Klausa 9(ii) Perlembagaan SADA turut memperuntukkan ekuiti syarikat itu tidak boleh dipindah milik, sama ada sebahagian atau keseluruhan, kepada individu, syarikat, badan korporat atau pihak ketiga sepanjang tempoh perjanjian antara SADA dan PAAB yang ditandatangani pada 4 Mac 2021,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, SADA sentiasa terbuka kepada kerjasama strategik dengan mana-mana syarikat bagi menangani cabaran bekalan air di negeri ini, tanpa menjejaskan struktur pemilikan sedia ada.
“Ada beberapa syarikat lain juga berhasrat mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi tujuan sama selepas SADA kembali mencatat keuntungan sejak PN menerajui Kedah.
“Saya faham perangai orang berniaga, dia akan cari di mana ada untung, saya tak salahkan mereka.
“Masa SADA tenat, rugi RM36 juta pada 2019 dan berhutang RM158 juta, masa itu tak ada siapa tengok, tak mahu SADA yang ‘kurap penuh’. Bila kita mula pulihkan SADA bermula 2020 dan jadi kerajaan, ramai mula tunjukkan minat,” katanya.