Bekas penasihat firma guaman didenda RM97,200 tipu tuntutan PERKESO

Iklan
Tertuduh hadir ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth bagi menghadapi dua pertuduhan pada Rabu.

BUTTERWORTH - Bekas penasihat tuntutan sebuah firma guaman didenda RM97,200 apabila mengaku bersalah menipu dua lelaki dalam tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Rabu.

A Ari, 37, membuat pengakuan tersebut setelah dua pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Iklan
Iklan

Zulhazmi telah menerima pengakuan tertuduh dan memerintahkan tertuduh membayar denda berkenaan namun sekiranya gagal, tertuduh boleh dikenakan penjara selama setahun.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, tertuduh secara tidak jujur telah menipu pemohon, Muhammad Helmi Abd Rahman dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh menguruskan peratusan tafsiran penilaian hilang upaya kekal (HUK) yang tinggi oleh jemaah doktor dalam tuntutan PERKESO oleh pemohon tersebut dengan dengan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Iklan

Sehubungan itu, tindakan tertuduh itu telah menyebabkan pemohon menyerahkan wang berjumlah RM50,000.

Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan kedua, tertuduh dengan secara tidak jujur telah menipu pemohon, Mohammad Azrin Ibrahim dengan memperdayakan perkara sama seperti pertuduhan pilihan pertama.

Iklan

Tindakan tertuduh itu telah menyebabkan pemohon tersebut menyerahkan wang berjumlah RM47,200 kepadanya.

Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah restoran di Seberang Jaya pada September 2023.

Tertuduh dikenakan denda RM97,200 kerana menipu dua lelaki melibatkan tuntutan PERKESO pada 2023.

Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang 1 tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, S Parameswaran.

Noor Azura dan Nurnajihatul memohon satu hukuman berbentuk pengajaran dan denda yang bersamaan dengan jumlah seperti mana di dalam pertuduhan.

Parameswaran dalam rayuannya berkata, anak guamnya merupakan penanggung nafkah tunggal dan mempunyai tanggungan keluarga termasuk ibunya.

"Anak guam saya berusia 37 tahun dan telah dipecat daripada firma guamannya selepas kes ini. Dia kini bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

"Bagaimanapun, dia mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan dua orang anak berusia 12 dan 10 tahun. Dia juga menanggung ibunya.

"Dengan pengakuan bersalah tertuduh, dia telah menjimatkan masa mahkamah.

"Oleh itu, saya memohon mahkamah mengenakan hukuman minima iaitu denda antara RM25,000 hingga RM30,000 kepadanya," katanya.

Tambah Parameswaran, anak guamnya juga mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa menggadai barang kemas isterinya bagi membayar denda.

Parameswaran juga memberitahu, anak guamnya bagaimanapun telah membayar denda berkenaan.