Adam Radlan bebas 12 kes rasuah, AMLA selepas bayar kompaun RM4.1 juta

Iklan
Adam Radlan (dua dari kanan) menghadapi 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta.

Hakim, Suzana Hussin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju untuk menawarkan kompaun berkenaan kepada tertuduh.

Iklan
Iklan

“Selepas mahkamah menilai hujahan pihak-pihak, mahkamah memerintahkan kamu dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” kata hakim.

Semasa sebutan keputusan representasi, Farah Yasmin berkata, berdasarkan representasi yang dikemukakan Adam Radlan, 44, terdapat perkembangan terbaharu dalam kes berkenaan.

Iklan

Menurutnya, terdapat tawaran supaya ahli politik itu membayar kompaun mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Tertuduh dalam kes ini sudah membuat pembayaran kompaun terbabit pada Isnin lalu,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Iklan

Sehubungan itu, Farah Yasmin memohon supaya Adam Radlan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Bagaimanapun, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam memohon supaya anak guamnya dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan berkenaan.

Menurutnya, ini kerana Adam Radlan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pertuduhan selepas membuat bayaran tersebut.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan didakwa menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada pengarah syarikat Metrasys, Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.